Kunjungan delegasi dari Afghanistan pada awal bulan telah menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara itu khusus dalam aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan.
Delegasi Afghanistan berhasrat jadikan Malaysia sebagai rujukan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, kunjungan negara yang dipimpin Taliban itu memberi pendedahan kepada delegasi Afghanistan bagi melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabangsa.
“Komitmen KPM adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu yang bersedia meningkatkan kerjasama dengan Afghanistan.
“Pada masa sama, hak pendidikan tidak boleh dinafikan. Justeru, Malaysia komited dan mendukung penuh hak pendidikan kepada wanita serta akses pendidikan kepada kanak- kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis lalu.
Foto: The Malaysia Press
Menurut KPM, pihaknya mengambil maklum isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mempertikaikan kehadiran rombongan Kementerian Pendidikan Afghanistan ke negara ini.
Artikel lain: KPM Perkenal Elemen TVET Kepada Murid Tahun Satu Bermula 2027
KPM menjelaskan, program kunjungan delegasi itu dilaksanakan berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar Negeri (KLN).
“Ia juga telah mendapat khidmat sokongan daripada Kementerian dan agensi lain yang berkaitan bagi tujuan tapisan keselamatan dan pemantauan berterusan sehingga program selesai,” ujarnya.
Foto: FB Nurul Amali Mohd Shamsudin
Sementara itu, KPM menyifatkan ia adalah satu usaha untuk menyokong hala tuju pendekatan dasar luar terhadap Afghanistan dimana Malaysia bersedia memberikan bantuan dari segi pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara tersebut.
“KPM telah membentangkan dan memberi gambaran menyeluruh sistem pendidikan negara termasuk berkenaan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di Malaysia.
“Ia memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi.
“Ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti (Sustainable Development Goal – SDG 4) termasuk untuk menghapuskan kesenjangan jantina dan memastikan akses sama rata dan menyeluruh di semua peringkat pendidikan,” kata KPM lagi.
Foto: Bernama
Malah pada masa sama, menterinya Fadhlina Sidek berkata, selaku negara yang dianggap contoh oleh pihak luar, Malaysia harus berani dalam melawan diskriminasi dan terus memperjuangkan hak pendidikan untuk anak-anak perempuan di seluruh dunia.