Kerajaan negeri masih menunggu laporan siasatan kes simbah asid terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim namun sehingga kini, masih belum ada sebarang maklum balas dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Memetik laporan Harian Metro, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawan Selangor, Najwan Halimi berkata walaupun Speaker DUN telah menulis surat kepada pihak polis, namun status kes Faisal masih belum diketahui.
Kerajaan Negeri masih menunggu laporan siasatan kes Faisal Halim
“Sehingga kini, kita masih tidak mengetahui status kes Faisal. Speaker DUN (Dewan Undangan Negeri) sudah menulis surat kepada pihak polis dan memaklumkan tentang usul yang dipersetujui secara konsensus dalam sidang yang lalu.
“Dalam surat itu, kita meminta siasatan menyeluruh dan meminta laporan siasatan berkenaan didedahkan kepada khalayak umum.
“Tetapi sehingga kini, kita masih tidak menerima sebarang maklum balas,” katanya pada Persidangan DUN Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada Jumaat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Mohd Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) yang ingin mengetahui status siasatan kes terbabit.
Pada persidangan Julai lalu, usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap atlet diluluskan secara konsensus oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.
Antara kandungan usul tersebut adalah mendesak supaya siasatan menyeluruh dilakukan terhadap kes berkenaan dan dapatan kes didedahkan untuk pengetahuan awam.
Artikel lain: Pelajar Dari Golok Mula Guna ICQS Untuk Ke Sekolah Di Malaysia
PDRM disarankan supaya segera mendedahkan siasatan terkini termasuk pelaku kejadian simbahan asid terhadap Faisal.
Pada 5 Mei lalu, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 26 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.
Sumber: Harian Metro (Ruwaida Md Zain)