Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan Hari Eksport Kuala Lumpur (EDKL 2024) di Menara MATRADE Kuala Lumpur, bermula hari ini sehingga esok.
Program tersebut dijangka akan menarik minat usahawan menceburi perniagaan eksport dan memperkasakan lebih banyak syarikat di Kuala Lumpur menjadi pengeksport.
EDKL 2024 bertujuan untuk membantu syarikat-syarikat di Kuala Lumpur terutamanya perusahaan kecil dan sederhana mendalami selok-belok mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa selain didedahkan dengan ketersediaan eksport dalam pengisian menarik yang dikongsikan.
Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Kuala Lumpur adalah salah satu destinasi penting dalam sektor eksport negara kerana hubungan eksport antara wilayah tersebut dengan rakan dagangan utama.
“MATRADE ingin memperluaskan produk eksport utama, selain meningkatkan jumlah syarikat dalam daftar pengeksport Malaysia (MER) terutamanya dari Kuala Lumpur bagi memperkukuhkan nilai dagangan negara pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian EDKL 2024 di Menara MATRADE Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE, Mansor Shah Wahid mengumumkan 119 syarikat dari Kuala Lumpur telah menerima bantuan di bawah program khas MATRADE.
“MATRADE berharap Hari Eksport Kuala Lumpur 2024 dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan di kalangan usahawan di sini untuk untuk mempelbagaikan produk serta mula mengeksport ke luar negara,” ujarnya.
Antara produk eksport utama Malaysia dari Januari sehingga September 2024 adalah barangan elektrik dan elektronik (39.2%), keluaran petroleum (8.9%), minyak sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (5.0%), kimia & bahan kimia (5.0%) serta jentera, kelengkapan & peralatan (4.5%).
Mansor berkata, 2,654 syarikat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah berdaftar dengan MATRADE sehingga Oktober 2024, yang mencatat 18.34 peratus daripada 14,464 jumlah keseluruhan syarikat Malaysia yang berdaftar.
EDKL 2024 turut djayakan Affin Bank Berhad, Alibaba.com., Exim Bank Malaysia, FedEx Malaysia, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) serta S&P Global Market Intelligence.
Program tersebut merupakan siri terakhir bagi Hari Eksport tahun 2024 dan akan diteruskan pada 2025 di negeri-negeri lain yang akan diumumkan nanti.