Keberadaan sebenar atau semasa individu yang merupakan pemilik dokumen MyKad dan lesen memandu yang ditemui di Ukraine seperti tular di laman sosial, baru-baru ini belum dapat dipastikan.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya masih menunggu maklum balas Kedutaan Russia termasuk dakwaan lelaki itu adalah tentera upahan dalam konflik Ukraine dan Russia.
Foto: Harian Metro
“Kita sedang menunggu pengesahan dakwaan tersebut memandangkan ia ditularkan di negara berkenaan. Isu itu ditularkan di media sosial di negara terbabit sebelum tular di sini.
“Kita sedang menunggu daripada kerajaan Russia mengenai status lelaki tersebut termasuk kemungkinan dokumen peribadinya di salah guna atau sebagainya,” katanya hari ini.
Foto: X @Zlatti_71
Keluarga individu pemilik MyKad dan lesen memandu tersebut memaklumkan, lelaki terbabit sedang melanjutkan pengajian di negara itu.
Perkembangan itu dimaklumkan Razarudin selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan keluarga lelaki berkenaan.
Terdahulu, tular penemuan dua keping gambar menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan perang di Livadny, Zaporizhia, Ukraine.
Foto: X @Zlatti_71
Terdapat dakwaan di media sosial, ia milik seorang rakyat Malaysia yang tidak dapat dipastikan statusnya, sama ada terbunuh atau ditahan tentera Russia.
Dikatakan, kedua-dua dokumen itu ditemui selepas tentera Russia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny.
Lelaki berkenaan kononnya dikatakan terbabit sebagai tentera upahan dalam ’16th Rifle Batallion Ukraine’ yang berdepan dengan tentera Russia di Ukraine.
Lesen memandu itu milik seorang individu itu dilihat beralamat di Padang Besar, Perlis dan masih sah sehingga Februari 2025.
Foto: X @Zlatti_71
Terdahulu, Kementerian Luar pada Selasa lalu, mengambil maklum mengenai dakwaan terdapat MyKad dan lesen memandu Malaysia telah ditemui di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.
Namun, Wisma Putra belum dapat mengesahkan kesahihan tentang gambar tular menunjukkan dokumen pengenalan diri dan lesen memandu milik rakyat Malaysia seperti dilaporkan.
Sumber: Berita Harian (Nor Azizah Mokhtar)