Dua lagi tempat yang dipercayai dijadikan sebagai ‘safehouse’ oleh seorang ahli politik berpengaruh digeledah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), malam tadi.
Menurut laporan Harian Metro, serbuan di dua tempat tersebut adalah susulan operasi di mana sejumlah wang asing berjumlah sekitar RM5 juta dijumpai dalam sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur, semalam.
Foto: Sinar Harian
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dua tempat tersebut adalah termasuk sebuah pejabat dan satu lagi tempat tinggal yang tidak diperincikan.
“Pegawai saya kira, ada tambahan (penggeledahan) dua ‘safehouse’ lagi. Salah satu daripadanya, ada penemuan SG$74,000 lebih kurang duit kita RM243,000.
“Kemudian di satu tempat di pejabat, dijumpai wang lebih kurang RM78,000. Kita juga mendapat maklumat ada wang dibuat pelaburan di Singapura … yang itu saya tidak boleh dedahkan berapa jumlahnya, siapa pemiliknya.
“Rasanya akan ada lagi penemuan di ‘safehouse’ lain. Ini kita masih lagi menjalankan siasatan dan risikan terhadap penyimpanan wang ini. Mungkin ada dibuat penyimpanan di bank lain. Ini sedang kita siasat,” katanya.
Beliau ketika ditemui pemberita selepas program Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Azam memaklumkan seramai empat individu yang ditahan merupakan tiga lelaki dan seorang wanita.
Foto: Harian Metro
Sebelum ini, pihaknya memberi maklumat tentang dua suspek ditangkap seperti yang dilaporkan oleh media, semalam.
Empat individu, termasuk seorang pengusaha, bekas pekerja MBI, pemandu, dan bekas pegawai kewangan syarikat perlombongan pasir, antara yang telah ditangkap.
Menurut Azam, SPRM akan memanggil ahli politik terlibat untuk siasatan lanjut setelah mengumpulkan bukti yang mencukupi.
Semalam, SPRM dilaporkan menggeledah sebuah pangsapuri yang didakwa sebagai ‘safehouse’ seorang ahli politik berpengaruh dan menemui kira-kira RM5 juta dalam mata wang asing.
Sumber: Harian Metro (Rafiqah Dahali)