Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu teruja apabila berkesempatan bertemu dengan bekas juara lightweight Ultimate Fighting Championship atau UFC, Khabib Nurmagomedov.
Foto: Facebook Mohamad Sabu
Menerusi satu catatan di Facebook, Mohamad Sabu berkata, beliau sempat berbual tentang semangat perjuangan, disiplin dan tekad yang kuat bukan sahaja penting dalam sukan namun penting dalam kehidupan seharian juga.
“Khabib bukan sahaja ikon dalam UFC, tetapi juga contoh teladan kepada generasi muda, terutamanya dalam memegang teguh prinsip dan nilai walau dalam apa jua cabaran.
“Pertemuan ini mengingatkan Bang Mat betapa pentingnya kita terus berusaha dan setia pada prinsip sama ada dalam arena politik, sukan, atau kehidupan harian,” katanya hari ini.
Khabib membuat kemunculan di Malaysia bagi program ‘Khabib Nurmagomediv Live in Malaysia’ di Pusat Dagangan Dunia, (WTC) Kuala Lumpur pada Ahad.
Foto: Facebook Mohamad Sabu
Kemunculan Khabib dalam program bual bicara itu menampilkan Alif Satar sebagai pengacara dan bintang muda Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali sebagai tetamu istimewa.
Program yang dianjurkan oleh Faith Events diserikan dengan persembahan khas menonjolkan seni mempertahankan diri tradisional Malaysia serta sukan tempur dari seluruh dunia dengan kehadiran sekitar 1,500 orang.
Sumber: Facebook Mohamad Sabu