Duo komedi popular, JOZAN iaitu gandingan Johan dan Zizan Razak kembali menerusi filem komedi baharu, Baik Punya Ah-Long yang menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula semalam, 12 September.
Foto: Facebook GSC
Foto: Facebook GSC
Pengarah filem, Datuk Afdlin yang terkenal dengan karya komedi bersifat ‘brotherhood’ memilih JOZAN sebagai pasangan yang paling tepat untuk mendefinisikan makna persaudaraan tersebut.
Sementara itu, penerbit eksekutif filem berkenaan merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berharap Baik Punya Ah-Long mampu mengubati rindu peminat JOZAN.
“Kekuatan Baik Punya Ah Long adalah pada unsur komedinya dan diperhebatkan lagi dengan lakonan oleh duo komedian terbaik Malaysia, JOZAN. Kami percaya penampilan JOZAN sentiasa dinantikan oleh peminat dan penggemar naskhah tempatan.
“Tidak hanya menjual elemen komedi yang sangat mencuit hati, filem ini turut menyelitkan elemen kekeluargaan, persaudaraan dan aspek sosial masyarakat.
“Mereka bukan sahaja boleh menikmati filem ini sebagai hiburan, tetapi diharapkan dapat meninggalkan impak dan membuatkan penonton mahu menyaksikannya berulang kali,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain Afdlin sendiri, Baik Punya Ah-Long dibintangi oleh Liyana Jasmay, Adlin Aman Rambil, Mia Sara Shauki, Adibah Noor ramai lagi, terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Petra Vision Works dan Golden Screen Cinemas.
Menggunakan tagline ‘Semua Boleh Settle’, filem itu mempertaruhkan 18 buah lagu yang dinyanyikan oleh barisan pelakon sendiri.