Perceraian dalam Islam sepatutnya berlaku secara berakhlak iaitu di Mahkamah Syariah dan bukannya menerusi cara lain seperti sedang melakukan siaran langsung di media sosial.
Menurut laporan Harian Metro, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, perkahwinan merupakan satu ibadah yang sangat besar dalam Islam dan agama juga mengajarkan agar perkahwinan tersebut berlangsung secara tenang, aman dan bahagia.
Foto: Harian Metro
“Sekiranya berlaku perselisihan faham atau perbalahan ia perlu diselesaikan secara baik seperti yang dianjurkan oleh Islam.
“Ini berikutan ketika nak berkahwin dulu, kita menggunakan cara Islam termasuk orang tengah dengan ada pertunangan, merisik dan langkah awal yang diambil sebelum kita kahwin,” katanya.
Mohamad Shukri berkata, tidak perlu bermasam muka jika sudah tidak bersama atau telah bercerai kerana masih bersaudara selain masih perlu menjalin ukhuwah Islamiah.
“Jadi untuk berpisah ini, sama kalau jalan terakhirnya perlu kepada bercerai maka bercerai secara berakhlak seperti yang dianjurkan oleh Islam,” ujarnya.
Mohamad Shukri turut mengulas kes perceraian yang berlaku membabitkan peniaga kosmetik, 37, yang diceraikan suaminya berusia lingkungan 40-an dengan talak satu ketika dia sedang bersiaran langsung di platform TikTok baru-baru ini.
@arshaff.ars Tan hassan cerai wanie.waniey mustapha semoga tabah dan bangkit.ore jate klau nok ko tino lain pah duk buruk bini tuo jate tuh meme xleh pakai mno.kore gih la support kak waniey nego nuh #tanhassanceraiwanie #tanhassanceraiwanieymustaphadalamlive #tanhassan #cerai
“Dalam konteks sekarang, mereka yang mahu bercerai perlu menghadirkan diri bersama-sama di depan hakim Mahkamah Syariah untuk mohon perceraian.
“Jadi perkara ini seolah-olah menjadi galakan untuk bercerai. Sebab itu bercerai dalam talian dan dihebohkan ini adalah satu tindakan yang tidak wajar dan tidak dikehendaki oleh agama.
“Kalau perkara yang baik memang kita perlu hebohkan dan perkara yang negatif ini tidak perlu dihebohkan,” jelasnya lagi.
Mohamad Shukri menasihatkan kepada orang ramai agar tidak mudah mengambil langkah untuk bercerai jika ada permasalahan dalam perkahwinan kerana masih banyak langkah seharusnya diambil terlebih dahulu.
Sumber: Harian Metro (Hidayatidayu Razali)