Penutupan pintu pagar balai polis selepas jam 10 malam di seluruh negara tidak akan menjejaskan proses penyampaian perkhidmatan polis kepada masyarakat apabila ia mula dilaksanakan.
Menerusi satu laporan Astro Awani, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan penutupan tersebut merupakan antara langkah kawalan keselamatan susulan berlakunya insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada 17 Mei lalu.
Foto: Google
“Orang ramai masih boleh membuat laporan dan tiada sebarang halangan selepas waktu itu.
“Tentunya tidak munasabah apabila ditafsirkan ‘tutup pagar’ secara total sedangkan pihak polis bertanggungjawab untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam,” kata KDN dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum itu, menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjawab soalan asal Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) mengenai langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperketat keselamatan di balai polis.
Beliau menjelaskan bahawa penutupan pintu pagar secara prinsipnya merujuk kepada garis panduan dan langkah berjaga-jaga bagi balai yang berada dalam kategori berisiko terhadap ancaman sahaja.
Foto: Google
Untuk makluman, dalam serangan pada 2.45 pagi itu, dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang suspek bertopeng yang turut maut dalam kejadian tersebut.
Manakala seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Hasif Roslan pula cedera ditembak.
Sumber: Astro Awani