Seorang wanita ditemui mati selepas ditelan ular sawa sepanjang enam meter di Daerah Luwu, Sulawesi Selatan.
Menurut satu laporan The Star, ketua polis tempatan Idul melaporkan suami mangsa Adiansa memaklumkan isterinya Siriati hilang selepas keluar rumah untuk membeli ubat untuk anaknya yang sakit pada pagi Selasa.
Foto: Harian Metro
Adiansa meminta ahli keluarga untuk bersama-sama mencari isterinya sebelum menemui selipar dan seluar mangsa di atas tanah yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka di kampung Siteba, wilayah Sulawesi Selatan.
“Tidak lama selepas itu, dia ternampak seekor ular, kira-kira 10 meter dari laluan itu,” kata ketua polis tempatan Idul.
Idul juga berkata, Adiansa yang curiga melihat perut ular sawa itu “sangat besar” kemudiannya memanggil penduduk kampung untuk membantu memotong perut ular berkenaan dan menemui mayat Siriati.
Foto hiasan: Manila Standard
Untuk makluman, kematian akibat ditelan ular sawa merupakan insiden yang sering berlaku di Wilayah Sulawesi Indonesia, antaranya adalah seorang wanita ditemui mati di dalam perut ular sawa di daerah lain bahagian di Sulawesi Selatan pada bulan lalu.
Pada tahun lalu pula, penduduk di wilayah tersebut membunuh seekor ular sawa sepanjang lapan meter, yang ditemui mencekik dan memakan salah seorang petani di sebuah kampung.
Sumber: The Star