Pemuzik dan penyanyi India, AR Rahman bakal membuat kunjungan pra konsert dan mengadakan sesi eksklusif untuk bertemu dengan para peminatnya pada Isnin depan di Pusat Konvensyen Star, Menara PGRM, Kuala Lumpur.
Menerusi satu laporan Harian Metro, penganjur Star Planet berkata, sesi eksklusif itu akan diadakan secara tertutup selain memaklumkan bahawa sekitar 1,000 peminat sudah membeli tiket konsert tersebut.
Foto: Harian Metro
“Kami sangat teruja untuk mengalu-alukan kedatangan AR Rahman ke Kuala Lumpur. Kunjungan istimewa ini dan konsert menjelang itu nanti tidak disangkal bakal menjadi sorotan pencinta muziknya,” katanya.
Star Planet juga memaklumkan AR Rahman bakal menyantuni para peminat secara lebih dekat sebagai tanda penghargaan beliau kepada peminat setia yang terus menyokong kerjayanya tersebut sekali gus memberitahu penebusan pas masuk boleh dibuat secara atas talian.
“Penebusan pas itu boleh dibuat menerusi laman web Star Planet bermula jam 5 petang Jumaat ini. Ia berdasarkan siapa cepat, dia dapat dan setiap pembeli tiket konsert boleh menebus maksimum dua pas,” ujarnya.
Foto: Harian Metro
Untuk makluman, bintang berusia 57 tahun itu pernah mencipta sejarah apabila lebih 60,000 hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dilaporkan menghadiri konsert “AR Rahman – Secret of Success – Live in Malaysia 2023” dimana turut menampilkan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berduet bersama beliau menerusi lagu Tamil klasik berjudul Munbe Vaa.
Sumber: Harian Metro (Georgie Joseph)