Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) melancarkan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC (SFC) sebagai usaha untuk menzahirkan sokongan dan membantu kelab tersebut bermula pada 27 Jun hingga 2 Julai 2024.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Najwan Halimi berkata, inisiatif tersebut bertujuan untuk memberikan ruang kepada semua rakyat Malaysia dan para peminat sukan bola sepak merentasi batas kenegerian untuk menzahirkan dukungan kepada SFC dengan sumbangan kecil RM1 kepada Tabung Solidariti Bersama Selangor FC.
Foto: Suara Merdeka
“Susulan daripada keputusan tidak adil dan bersifat penindasan yang dijatuhkan oleh Malaysian Football League (MFL) kepada SFC semalam, Kerajaan Negeri MSNS akan melancarkan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC bermula pada malam ini (26 Jun) sehingga 2 Julai 2024.
“Hasil dari sumbangan ini kemudiannya akan diserahkan kepada pihak SFC bagi membantu mereka memperjuangkan keadilan sehingga ke peringkat tertinggi terhadap hukuman melampau yang telah dijatuhkan oleh MFL,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Foto: FB Najwan Halimi
“Semoga dengan inisiatif ini dapat menggerakkan penyertaan semua pihak yang berkongsi citra dan aspirasi untuk mengembalikan semula sukan bola sepak sebagai sukan yang memupuk keharmonian dan perpaduan di kalangan rakyat,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Najwan juga turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri menjunjung kasih titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mencerminkan ketegasan dan kepekaan baginda terhadap pelbagai isu dan ketidakadilan yang sedang dihadapi SFC.
Foto: Google
“Bola sepak, yang selama ini dijulang sebagai sukan yang menyatukan rakyat kini dicemar dengan elemen keganasan dan ketaksuban kenegerian yang melampau hingga menjurus kepada perpecahan di kalangan masyarakat,” tambah beliau lagi.
Sumber: Facebook Najwan Halimi