Menara Berkembar Petronas (KLCC) dinobatkan sebagai juara bagi kategori bangunan seni arkitek terbaik di seluruh benua Asia menerusi data yang dikeluarkan Trip Advisor.
Perkara itu turut disahkan dan dimaklumkan sendiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam ciapan di aplikasi X hari ini.
Foto: X
“Malaysia juara lagi. Marilah kita sentiasa menimba ilmu, berusaha gigih, penuh berdaya cipta dan mendukung aspirasi Malaysia Madani,” ciapnya.
Seiring dengan itu, turut berada dalam lima senarai terbaik adalah Taj Mahal (India), Jim Thompson House (Thailand), Tian Tan Buddha (Hong Kong) dan Taipie 101 (Taiwan).
Bangunan pencakar langit yang terletak di tengah-tengah ibu kota itu menjadi tarikan utama di Malaysia dengan menerima 20.14 juta pelancong dan lebih daripada 30,000 ulasan di Trip Advisor.
Foto: Melancong.my
Untuk makluman, KLCC merupakan bangunan kedua tertinggi di Malaysia berada di belakang Menara Merdeka 118. Walau bagaimanapun, KLCC masih merupakan menara berkembar tertinggi di dunia dan juga pernah dinobatkan sebagai bangunan tertinggi pada abad ke-20 Sehingga kini, ia tetap menjadi mercu tanda dan ikon Kuala Lumpur.
Sumber : X Nga Kor Ming, Kosmo! Online