Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia meminta kerajaan tidak terus menutup mulut dalam isu melibatkan penceramah bebas, Firdaus Wong yang didakwa menyarankan cara mengislamkan remaja bukan Islam secara rahsia dan tanpa kebenaran ibu bapa mereka.
Menurut satu laporan Malaysiakini, Pengerusinya Arun Dorasamy berkata, kerajaan perlu membuat kenyataan rasmi bagi mengecam tindakan penceramah tersebut.
Foto: Malaysiakini
“Isu ini berkaitan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan oleh itu kita minta jasa baik menteri Fadhlina Sidek untuk mengharamkan atau gam Firdaus Wong dan orang seumpamanya dari jejakkan kaki ke sekolah awam.
“Supaya ibu bapa bukan Islam boleh menghantar anak mereka ke sekolah tanpa rasa bimbang tentang kesejahteraan anak mereka,” katanya.
Dia berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara (AGC) perlu bersikap tegas menangani perkara tersebut, namun menyatakan kepercayaan mereka terhadap kedaulatan undang-undang dan yakin PDRM akan bertindak sewajarnya.
“Kerajaan MADANI perlu mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam tindakan sebegini daripada kumpulan yang tertentu terutamanya menyalahguna dan mengambil kesempatan ke atas murid-murid.
Foto: Google
“Bila mereka berdiam diri dan membisu dalam hal ini mereka seolah-olah membenarkan ini berlaku,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Firdaus ada memuat naik sebuah video melalui platform TikTok yang terlibat dalam sesi soal jawab dan sedang menasihati seorang lelaki tentang cara menangani permintaan untuk memeluk Islam daripada beberapa remaja.
Selain itu, terdapat pihak mengatakan sesi soal jawab tersebut melibatkan Firdaus dengan seorang guru yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa bukan Muslim terhadap anak remaja mereka yang bersekolah di sekolah kebangsaan.
Foto: Says
Bagaimanapun, sesi soal jawab itu sebenarnya diadakan bersama seorang penulis dan pempengaruh Tik Tok Adnin Roslan selain Firdaus memaklumkan remaja yang ingin memeluk Islam sepatutnya dialu-alukan tetapi pengislaman mereka tidak boleh didaftarkan atau diumumkan.
Untuk makluman, Arun telah memaklumkan bahawa sebanyak enam laporan polis telah dibuat terhadap Firdaus berkaitan perkongsian tersebut.
Sumber: Malaysiakini (Shakira Buang)