Salah seorang ahli kumpulan EXID, Hani dan kekasihnya yang merupakan personaliti televisyen Yang Jae Woong bakal berkahwin September ini setelah empat tahun menjalinkan hubungan cinta.
Menerusi laporan Allkpop yang dipetik daripada Sports Kyunghyang, Hani nama sebenarnya Ahn Hee Yeon serta pasangannya itu dikatakan sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis perkahwinan mereka.
Foto: IG Ahnanihh
Difahamkan juga, keputusan mereka untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini telah direstui oleh kedua-dua belah pihak keluarga.
Walau bagaimanapun, agensi kepada penyanyi berusia 32 tahun ini iaitu Sublime Artist masih belum memberikan pengesahan terhadap laporan terbabit.
Sebelum ini, Hani yang juga vokalis kumpulan tersebut telah disahkan menjalin hubungan cinta dengan lelaki berusia 42 tahun itu pada tahun 2022 dan perkara itu diterima baik oleh para peminat.
Foto: The Movie Database
Sejak daripada itu, Hani telah berkongsi beberapa gambar bersama teman lelakinya itu di media sosial yang memaparkan kemesraan antara mereka berdua.
Sekadar info, semasa EXID debut pada tahun 2018, Hani diletakkan di posisi sub-vokalis, namun kini dia menjadi vokalis ketiga kumpulan tersebut.
Hani juga telah muncul buat kali pertama sebagai cameo dalam drama komedi yang dibintangi oleh Kim Soo Hyun, The Producer sebelum dia secara rasminya bergelar pelakon menerusi drama web XX pada tahun 2020.
Sumber: Allkpop