Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pemberian baucar buku yang melibatkan murid atau pelajar di institusi pendidikan bawah KPM disalurkan bermula jam 2 petang pada Jumaat, 31 Mei 2024.
Menerusi satu kenyataan, KPM memaklumkan baucar buku tersebut boleh didapati melalui aplikasi DELIMa melalui beberapa kaedah bermula 2 petang hari ini.
Foto: Laman Web DELIMa
“Pertama, murid atau pelajar log masuk aplikasi DELIMa menggunakan id, password DELIMa dan klik ikon Kota Buku Digital. Kemudia murid atau pelajar mendaftar akaun di Kota Buku Digital dan kredit akan dipapar di akaun masing-masing.
“Murid atau pelajar boleh memilih judul yang disukai daripada kepelbagaian judul yang ada terutamanya daripada JUDUL CADANGAN MADANI. Setelah selesai memilih, murid atau pelajar boleh daftar keluar (check-out) dan memilih pilihan bayaran kredit e-kedai (e-store credit),” katanya.
KPM juga memberitahu proses pembelian tersebut lebih mudah dan buku yang dibeli akan dihantar terus ke alamat yang didaftarkan oleh murid atau pelajar.
Sementara itu, KPM turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pemberian baucar buku itu yang sekali gus dapat mencerminkan keperihatinan beliau terhadap kepentingan menyemai minat membaca dalam kalangan generasi muda.
Foto: Bernama
“Pemberian baucar buku seperti diumumkan Perdana Menteri adalah langkah ke hadapan yang menjadi pencetus kepada melahirkan generasi berilmu, pewaris masa hadapan Malaysia MADANI.
“la juga bertepatan dengan usaha berterusan KPM untuk mempertingkatkan budaya membaca dalam kalangan murid atau pelajar menerusi penganjuran pelbagai program galakan di setiap peringkat,” ujarnya.
Untuk makluman, baucar buku RM50 akan diberikan kepada murid Tahun 4 hingga Tahun 6 manakala RM100 kepada murid sekolah menengah, penuntut di institusi pendidikan tinggi dan pelajar di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Sumber: Facebook Fadhlina Sidek