Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan menguatkuasakan Peraturan Permit Kemasukan Kenderaan Motor Asing (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula 1 Oktober depan.
Menterinya Loke Siew Fook berkata, penguatkuasaan VEP tersebut adalah bertujuan untuk memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi sepenuhnya peraturan jalan raya di Malaysia.
Foto: FB MOT
“Penguatkuasaan itu membabitkan pemilik kenderaan asing dari Singapura yang merentasi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor serta Kompleks CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar di Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
“Peraturan ini akan turut diperluaskan ke Sempadan Darat Malaysia-Thailand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kenderaan motor asing tanpa VEP boleh dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan selaras dengan Seksyen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan kompaun atau didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan mengikut Seksyen 119 (2) di bawah Akta 333.
Foto: Berita Harian
“Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai kuasa melarang mana-mana kenderaan asing yang tidak mempunyai VEP untuk masuk dan keluar dari negara ini,” ujarnya.
Sementara itu, menerusi satu laporan Buletin TV3 pula, Loke dilaporkan berkata permohonan bagi setiap tag RFID VEP dikenakan bayaran RM10 dan ia sah selama tempoh lima tahun.
“Semua pemilik kenderaan asing yang akan melintasi Tambak Johor dan Link Kedua Malaysia-Singapura boleh menggunakan masa yang ada sekarang sama ada untuk memperbaharui VEP yang tamat tempoh atau melengkapkan proses pendaftaran bagi mendapatkan VEP kenderaan masing-masing.
“Mengikut rekod, hanya kira-kira 70,000 kenderaan bermotor berdaftar Singapura yang telah mendaftar dan mengaktifkan tag VEP berbanding lebih 200,000 kenderaan bermotor yang mendaftar tetapi belum menyelesaikan proses pemasangan dan pengaktifan tag VEP mereka,” tambahnya lagi.
Foto: Buletin TV3
Untuk makluman, MOT telah melaksanakan pendaftaran VEP bagi pemilik kenderaan warga asing yang melintasi Kompleks CIQ di Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor dan Kompleks CIQ di Bangunan Sultan Abu Bakar sejak April 2019 lagi.
Sumber: Facebook MOT, Buletin TV3