Pengarah filem Menjelang Ajal, Hadrah Daeng Ratu memberitahu filem yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 15 Mei ini adalah diilhamkan daripada kisah benar yang dialami orang sekelilingnya.
Menerusi satu temubual, Hadrah menjelaskan filem itu bukan sekadar mempersembahkan naskah seram yang menakutkan, malah mempunyai mesej penting ingin disampaikan kepada masyarakat.
“Diinspirasikan daripada kisah benar daripada ramai orang dan kawan-kawan. Watak utama sebenarnya ada satu kejadian yang dialami oleh salah seorang yang paling rapat dengan kami.
“Dia mengalami perkara pelik dan sakit agak lama sehingga dia seakan-akan menjadi orang gila. Saya seperti tidak faham pada awalnya, namun ternyata ada sesuatu di tubuhnya,” kata Hadrah.
Dalam pada itu, Hadrah sebelum ini dikenali menerusi filem-filem seramnya seperti Makmum, Occult Agreement, Sijjin, dan Pemandi Jenazah.
Namun, Menjelang Ajal menampilkan sisi berbeza dengan filem seram lain yang pernah dibuatnya kerana dia sendiri mahu membuatkan penonton tidak senang duduk dengan watak utama, Sekar.
“Tekanan filem ini cukup kuat. Ianya bukan sekadar memaparkan hantu, sebaliknya ketegangan itu dibina daripada watak utama yang bukan seorang hantu. Seorang yang masih hidup tetapi didiami makhluk dalam dirinya.
“Mesej utama yang ingin saya sampaikan adalah saya ingin mengingatkan bahawa setiap keputusan yang diambil secara tidak betul sebenarnya akan membawa malapetaka,” ujarnya.
Hadrah turut berpesan kepada semua, supaya jangan sekali-kali mengambil jalan pintas untuk menyelesaikan masalah hidup. Hal ini kerana apabila kita mengambil jalan pintas atau perkara yang bercanggah dengan agama, pasti ada akibat yang perlu dihadapi.
Untuk makluman, Menjelang Ajal mengisahkan tentang seorang ibu bernama Sekar yang cuba menyara tiga anaknya seorang diri dengan membuka gerai makan. Kemudian dia risau kerana barang jualannya sering basi sejurus selepas dihidangkan.
Sekar pergi menemui Mak Ambar, bomoh yang memasang ‘pelaris’ di gerainya. Namun, ternyata Mak Ambar telah meninggal dunia.
Sejak itu, jin yang membantunya menuntut nyawanya sehingga Sekar dirasuk setiap malam. Tiga beranak itu cuba mendapatkan rawatan, namun cubaan ini sebenarnya mengancam nyawa mereka dan keluarga.
Untuk rekod, Menjelang Ajal merupakan filem seram kedua Hadrah terbitan Rapi Films, selepas filem Sijjin yang merupakan antara filem box office tahun lalu.
Filem ini diterbitkan oleh Gope T. Samtani, dan diterbitkan oleh Rapi Films dengan kerjasama Sky Media, Legacy Pictures, dan Rhaya Flicks.
Lakon layar untuk filem ini ditulis oleh Deni Saputra dan dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti Shareefa Daanish, Caitlin Halderman, Daffa Wardhana, Shakeel Fauzi Aisy, Ruth dan ramai lagi.
Sumber: Tempo.co