Gunung Berapi Semeru di Jawa Timur, Indonesia kembali meletus dengan diiringi debu dan asap tebal setinggi 600 meter ke udara, bermula tengah malam hingga pagi tadi.
Memetik laporan ANTARA News, kakitangan Pos Pemantauan Gunung Semeru berkata, sebanyak 15 letusan dikesan berlaku dan penduduk telah diminta untuk sentiasa waspada dengan sebarang kemungkinan, termasuklah awan panas dan aliran lahar dari puncak Gunung.
Menurutnya, ada di antara gegaran dikesan sehingga melebihi dua minit namun status Gunung Semeru bagaimanapun masih dikekalkan pada tahap tiga.
Foto: ANTARA News
Sementara itu, Badan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia menyarankan agar penduduk tidak melakukan sebarang aktiviti sejauh 13 kilometer dari tenggara puncak gunung.
Untuk rekod, Gunung Semeru mengalami letusan berturut-turut pada tahun 2002, 2004, 2005, 2007 dan 2008. Dalam peristiwa 2008, letusan berlaku beberapa kali dari 15 Mei hingga 22 Mei. Situasi pada hari terakhir, terdapat 4 awan panas turun dengan cepat sehingga 2,500 meter.
Pada 4 Disember 2021, Gunung Semeru kembali meletus lagi dan meragut mangsa. Dirakamkan 48 orang maut dan berpuluh-puluh lagi mengalami kecederaan serius atau ringan. Bukan itu sahaja, hampir 10 ribu orang dipindahkan ke tempat selamat berhubung bencana tersebut.
Tepat setahun kemudian, pada 4 Disember 2022, gunung tertinggi di Jawa itu sekali lagi menunjukkan keaktifannya. Hal ini menyebabkan pihak berkwajib turut menaikkan status Gunung Semeru ke tahap IV atau dalam mod berjaga-jaga, sehingga menyebabkan ribuan penduduk terpaksa berpindah.
Sumber: ANTARA News