Penyanyi popular Indonesia Mahalini Raharja terkejut apabila suaminya, Rizky Febian meluahkan hasrat untuk memiliki 12 cahaya mata seperti pasukan bola sepak.
Menerusi temu bual di Youtube SL Media, dapat dilihat Rizky atau nama sebenarnya Rizky Febian Adriansyah Sutrisna mendedahkan keinginannya itu ketika melakukan proses adat Sunda seusai upacara akad nikah dilaksanakan.
Dalam video itu, kelihatan pengacara majlis berkenaan bertanya kepada Rizky berhubung jumlah anak yang diinginkan sebelum berseloroh dengan memberi gambaran untuk memiliki anak seramai 11 orang seperti pasukan bola termasuk seorang sebagai pemain gantian.
Foto: IG Rizky Febian
“Saya nak 11 orang termasuk satu pemain simpanan,” katanya sambil ketawa.
Setelah mendengar jawapan tersebut, isterinya yang juga pelantun lagu Bohongi Hati itu kelihatan terkejut lalu memukul manja serta memberikan jelingan kepada Rizky.
Walau bagaimanapun, Rizky kemudiannya menukar jawapan dengan menyatakan bahawa dia hanya menginginkan dua cahaya mata sama seperti Mahalini yang memberi isyarat dua jari kepada pengacara majlis tersebut.
“Saya cuma bergurau. Dua cahaya mata sahaja sudah cukup,” ujarnya.
Lelaki yang menemu bual kedua-dua penyanyi ini kemudiannya menjumlahkan jawapan mereka untuk memiliki empat orang anak dan Rizky sekali lagi dilihat bersetuju dengan kata-kata pengacara terbabit.
Foto: IG Mahalini
Sekadar info, Rizky dan Mahalini sah bergelar suami isteri pada 10 Mei lalu dan majlis yang hanya dihadiri ahli keluarga kedua-dua belah pihak serta sahabat terdekat itu telah diadakan di sebuah hotel di Jakarta, Indonesia.
Sumber: Youtube SL Media