Insiden perselisihan faham yang tular di laman sosial baru-baru ini dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati kerana tidak membayar tambang membabitkan seorang wanita dan pemandu bas.
Menerusi satu kenyataan media, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, berdasarkan siasatan awal kejadian membabitkan sebuah bas henti-henti bandar raya ini, berlaku pagi Khamis lalu.
Foto: Berita Harian
“Seorang wanita tempatan berusia 31 tahun telah tampil membuat laporan polis pada hari yang sama menyatakan telah dimarahi individu yang merupakan pemandu bas yang dinaikinya.
“Kejadian berpunca daripada perasaan tidak puas hati kerana mangsa tidak membayar tambang bas sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, setelah meneliti punca permasalahan, kes telah disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi terus IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323,” ujarnya lagi.
Driver Type M, dengan Penumpang Type I gaduh…
Apa kes tak puas hati ni??? pic.twitter.com/AJeir3ukzq
— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) May 5, 2024
Terdahulu, tular video berdurasi 49 saat di media sosial memaparkan seorang wanita berselisih faham dengan pemandu bas di kawasan Johor Bahru.
Video tersebut telah mendapat sebanyak 801,000 tontonan, 144 komen dan 634 retweet sejak dimuat naik pada 5 Mei lalu di aplikasi X.
Sumber: Facebook Polis Daerah Johor Bahru Selatan, X @udate11111