Syarikat FinDoc Sdn Bhd (FinDoc) menjalinkan kerjasama strategik dengan Ctos Data Systems Sdn Bhd (Ctos) sebagai usaha memajukan kewangan inklusif negara menerusi penyelesaian pengesahan identiti (e-KYC) ke dalam platform pemeriksaan kelayakan pinjaman dan perundingan mereka.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Pegawai Eksekutif FinDoc Chris Yong berkata, pihaknya menyasarkan untuk bekerjasama dengan lebih banyak bank lagi selain Ctos untuk memudahkan proses permohonan pinjaman dan dapat menghubungkan pelanggan dengan bank yang sesuai.
Foto: e-Nanyang News
“Kami komited menyediakan platform yang memberi nasihat kewangan dengan cepat dan selamat.
“Dalam penggunaan Ctos-eKYC, pengguna yang mendaftar dengan FinDoc perlu menggunakan tiga pengikatan identiti, termasuk kad pengenalan, nombor telefon dan alamat e-mel,” katanya.
Chris berkata demikian semasa majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara FinDoc dan Ctos di Geno Hotel, Shah Alam baru-baru ini.
Foto: e-Nanyang News
Beliau juga berkata usaha kerjasama ini dapat mengurangkan pembaziran sumber dan meningkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhan.
“Fungsi ini akan meningkatkan keselamatan dan privasi pengguna dalam pengurusan data, membawa kepada pengurusan data yang boleh dipercayai dan selamat,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Ctos Danny Fong pula berkata, rakyat Malaysia dapat menjalani proses penapisan kredit dan mendapatkan nasihat kewangan secara dalam talian dengan cepat dan selamat dengan mengadaptasi penyelesaian digital terkini melalui e-KYC.
Foto: e-Nanyang News
“Kami memahami pentingnya privasi data, justeru kami memperkenalkan pengesahan identiti untuk memastikan setiap permintaan kelayakan kredit adalah sah dengan FinDoc mengenal pasti cabaran kewangan yang biasa dihadapi oleh pengguna, untuk menghasilkan program pendidikan pengetahuan kewangan, membolehkan pengguna menguruskan kredit dan kewangan mereka dengan lebih baik,” katanya.
Untuk makluman, FinDoc kini bekerjasama dengan 20 bank dalam negara dalam menawarkan perkhidmatan penapisan kelayakan kredit dan pernah dianugerahkan pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai platform fintech menerusi penapisan pembiayaan bank terbanyak direkodkan.
Sumber: Harian Metro (Sri Ayu Kartika Amri)