Sebuah filem seram, ‘Winnie the Pooh: Blood and Honey 2’ dilaporkan berdepan larangan untuk ditayangkan di semua pawagam di negara jiran, Brunei.
Menurut laporan Cinema.com, jurucakap pengedar tempatan Mega Films Distribution berkata, larangan tayangan itu dikeluarkan 8 April, hanya beberapa hari sebelum jadual filem tersebut ditayangkan di pawagam tempatan pada 16 April.
Foto: Cinema.com
“Sejak keluaran pertamanya, ‘Winnie the Pooh: Blood and Honey’ kekal sebagai topik hangat, mencemarkan kenangan zaman kanak-kanak yang dihargai ramai,” katanya.
Dia juga mendedahkan bahawa larangan filem tersebut dibuat selepas gagal melepasi tapisan kerajaan tempatan Brunei disebabkan terdapat unsur-unsur keganasan dan kandungan yang tidak sesuai dipertontonkan kepada umum.
Foto: Cinema.com
“Terdahulu, tayangan perdananya di Hong Kong dibatalkan kerana pertimbangan politik, menjadikan ansuran pertama sebagai subjek perbincangan sebelum dikeluarkan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, sekuel terbaru filem ini pula telah ditayangkan di lebih 90 pawagam seluruh Malaysia sejak 10 April dan diletakkan di bawah rating 18 ke atas oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) tempatan kerana terdapat adegan menyeramkan dan ganas.
Untuk makluman, undang-undang hak cipta Amerika Syarikat (AS) menyatakan bahawa suatu harta intelek atau karya akan kehilangan hak cipta selepas tempoh 95 tahun selepas penerbitan awal mereka dan dikategorikan sebagai domain awam.
Foto: Cinema.com
‘Winnie the Pooh’ merekodkan keluaran rasmi pertamanya pada tahun 1926 yang mana telah memasuki domain awam bermula 2022 sekali gus membolehkan orang ramai menggunakan aksara untuk penciptaan sekunder atau berkongsi kandungan daripada cerita tersebut tanpa kebenaran pencipta rasminya.
Sumber: Cinema.com