Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membuat pemantauan terhadap keadaan pelajar di negara Timur Tengah rentetan konflik yang berlaku antara Iran dan Israel.
Menerusi kenyataan media, KPT mengambil maklum terhadap situasi terkini di Timur Tengah melibatkan ketegangan antara negara Iran dan Israel, yang secara tidak langsung memberi kesan terhadap negara-negara sekelilingnya seperti Jordan, Syria, Lebanon dan Iraq.
Foto: Kosmo
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjelaskan bahawa pihak KPT sedang mengikuti perkembangan secara langsung melalui pejabat Education Malaysia (EM) di Jordan dan Dubai, sambil tetap berkomunikasi dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran, dan Amman, Jordan.
“KPT sedang memantau perkara ini secara langsung menerusi pejabat
Education Malaysia (EM) di Jordan dan Dubai serta sentiasa berhubung dengan Kedutaan
Besar Malaysia di Tehran, Iran dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan bagi
mendapatkan perkembangan terkini dan tindakan lanjut,” katanya
Jelasnya, hal ini bertujuan untuk memperolehi maklumat terbaru dan mengambil langkah selanjutnya yang diperlukan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
Foto: Utusan
Dalam pada itu, KPT juga akan menjalankan perbincangan dengan pihak-pihak terlibat bagi menentukan langkah selanjutnya, sekali gus mempertimbangkan keperluan untuk membawa pulang pelajar dari negara-negara tersebut.
Rekod semasa telah mencatatkan seramai 1,872 pelajar Malaysia yang berdaftar di Jordan, 37 pelajar di Syria, 8 pelajar di Iran, manakala tiada pelajar Malaysia di Lebanon dan Iraq pada masa ini.
“Rakyat Malaysia khususnya pelajar-pelajar Malaysia di negara berkenaan dinasihatkan
untuk terus bertenang, sentiasa berwaspada dengan situasi semasa dan mematuhi arahan
pihak berkuasa,” ujarnya.
Selain daripada mengharapkan agar krisis dapat diselesaikan dengan segera, KPT turut meminta agar orang ramai, terutamanya para pelajar Malaysia di negara-negara berkenaan supaya kekal tenang dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.
Pelajar dan ibu bapa yang memiliki sebarang pertanyaan, mereka dipelawa untuk menghubungi Kedutaan Malaysia yang terdekat.
Bagi Kedutaan Malaysia di Tehran, Iran, boleh dihubungi di talian (+9821) 88072444 dan (+9821) 88078606 dengan alamat 25, Second Alley, North Zarafshan Street Eyvanak Boulevard, Phase 4, Shahrak e-Qods, Tehran. Emel juga boleh dihantar ke [email protected] atau [email protected].
Manakala, Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan pula boleh dihubungi menerusi alamat No. 5, Hassan Al Kayed Street, Off Abai Street Abdoun, P.O. Box 5351, Amman 11183, dengan nombor telefon (+962) 6590 2400 dan (+962) 78590 2400. Emel boleh dihantar ke [email protected] atau [email protected].