Penyanyi kumpulan wanita AESPA, Karina dan pelakon popular Korea Selatan, Lee Jae-wook berpisah setelah sebulan menjalin hubungan cinta selepas disahkan menerusi agensi mereka.
Menerusi laporan Soompi, saluran berita Korea Selatan, TenAsia melaporkan bahawa Karina dan Jae-wook telah berpisah setelah sebulan bersama selepas pasangan itu mendedahkan hubungan mereka kepada umum pada akhir Februari 2024.
Foto: Soompi
Sebagai reaksi kepada laporan tersebut, wakil dari agensi Jae-wook, C-JeS Studios mengesahkan bahawa pasangan itu telah memutuskan untuk berpisah bagi memberi tumpuan kepada kerja masing-masing.
“Kedua-duanya memutuskan untuk kekal sebagai rakan sekerja yang menyokong satu sama lain, masing-masing akan menyapa peminat dari semasa ke samasa dan tolong tunjukkan minat dan sokongan anda kepada mereka,” kata agensi Jae-wook.
Foto: Soompi
Dalam pada itu, agensi Karina, SM Entertainment juga menyentuh laporan itu dalam satu kenyataan ringkas kepada XportsNews bagi mengiyakan bahawa pasangan tersebut telah berpisah.
Terdahulu, saluran berita Dispatch melaporkan bahawa Karina dan Jae-wook kali pertama bertemu di pertunjukan fesyen Prada di Milan pada 14 Januari, dengan sumber tanpa nama yang rapat mengatakan bahawa ia adalah ‘cinta pandang pertama’.
Berita yang menggemparkan itu seolah-olah membuka ruang komen orang ramai yang rata-rata tidak ‘merestui’ hubungan mereka kerana dianggap tidak sepadan memadangkan kedua-duanya dari kerjaya yang berlainan.
Sumber: Soompi