Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 berkemungkinan tidak akan melibatkan pelajar-pelajar sekolah sekiranya ia dilaksanakan kembali.
Dipetik menerusi laporan Astro Awani, kenyataan ini telah dimaklum dan disahkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) selaku badan yang bertanggungjawab dalam mengurus dan mengelola PLKN 3.0 ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata walau bagaimanapun perkara tersebut masih dalam pertimbangan untuk disesuaikan dengan peringkat umur peserta.
Foto: The Star
Advertisement. Scroll to continue reading.
Perbincangan ini dengan mengambil kira pelajar yang masih bersekolah, berkemungkinan (dilaksanakan) selepas tamat pelajaran di sekolah dan begitu juga yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti.
“Kita belum muktamadkan dan masih berunding kerana masih terdapat dua komponen iaitu kenegaraan dan ketenteraan yang merupakan asas kepada kurikulum,”
“Perkara ini penting untuk kurikulum kenegaraan yang akan dibincang bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana juga terdapat elemen perpaduan dalam masyarakat serta aspek ketenteraan akan dibuat oleh MINDEF” katanya lagi.
Foto: The Merdeka Times
Dalam pada itu, program PLKN 3.0 dijangka berasaskan 80 peratus latihan ketenteraan, manakala 20 peratus lagi aspek kenegaraan.
Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa PLKN 3.0 tidak akan dilaksanakan tahun ini dan hanya dijadualkan akan bermula semula pada tahun hadapan melihatkan PLKN telah ditangguhkan lebih lima tahun dan program itu akan dijalankan di 13 kem Rejimen Askar Wataniah serta Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di seluruh negara.