Ketua Polis Negara Razaruddin Husain tidak menafikan gaji yang rendah dan sikap individu menjadi antara faktor menyebabkan seseorang pegawai atau anggota polis terlibat dengan rasuah.
“Memang saya akui, gaji itu merupakan satu daripada faktor. Saya ambil indikator begini gaji konstabel termasuk elaun RM2,500 menetap di Kuala Lumpur, beliau (dikategorikan) miskin bandar, tetapi, kalau duduk di Kuala Nerang (Kedah), Besut (Terengganu) dan Kinabatangan atau Beluran (Sabah) gaji itu banyak, itu antara satu faktor yang perlu dilihat.
“Kalau dibandingkan dengan Singapura, tiada rasuah sebab gaji kecil kerana negaranya kecil. Kita sendiri ada 137,000 personel dan akan bertambah pada tahun ini dengan kemasukan 4,000 lagi (pegawai dan anggota polis),” katanya kepada pemberita selepas program Walkabout di Pasar Pagi Pandamaran hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, dalam kes-kes rasuah membabitkan golongan berpendapatan tinggi, ia berpunca daripada sikap individu.
“Kita juga biasa dengan berita apabila ada pengarah syarikat dan agensi pun ditangkap. Adakah gaji mereka sedikit? Perkara ini lebih kepada sikap seseorang itu,” tegasnya.
Dalam pada itu, Razaruddin berkata, mana-mana pihak boleh membuat laporan terhadap dirinya sekiranya beliau melanggar undang-undang atau peraturan.
“Masyarakat mempunyai hak dari segi undang-undang dan perlembagaan dalam menyalurkan maklumat atau membuat laporan terhadap mana-mana polis di negara ini.
“Sekiranya, saya langgar undang-undang dan tidak ikut peraturan, laporkan disebabkan saya pun polis,” katanya.
“Kita memang terbuka dan mengalu-alukan masyarakat di seluruh negara beri maklumat dan laporkan supaya siasatan adil dapat dijalankan. Mana-mana pegawai dan anggota terlibat, kita akan tuduh di mahkamah,” katanya.
Sumber: Bernama