Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Indeks Harga Pengeluaran Malaysia (IHPR) yang mengukur harga barangan di pintu kilang terus merekodkan penurunan.
Menurut IHPR, harga barang di pintu kilang menurun kepada -1.3 peratus pada Disember 2023 berbanding -1.5 peratus pada November 2023, lapor Berita Harian.
Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan ini disebabkan oleh beberapa sebab antaranya sektor perlombongan yang menurun sebanyak -3.4 peratus.
Foto: The Malaysian Reserve
Selain itu, penurunan ini juga disebabkan oleh penurunan kedua-dua indeks pengekstrakan gas asli (-7.8) dan pengekstrakan petroleum mentah (-1.9).
Beliau berkata, sektor pembuatan terus turun -1.5 peratus berbanding -1.4 peratus pada November 2023, disebabkan oleh indeks pembuatan kok & petroleum bertapis (-12.3 peratus) dan pembuatan produk makanan (-4.2 peratus).
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa sektor bekalan elektrik & gas juga turun -0.6 peratus, sama seperti bulan sebelumnya.
“Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat 1.3 peratus selepas penurunan -0.4 peratus pada November 2023 disebabkan oleh kenaikan dalam indeks pengeluaran ternakan (6.3 peratus) dan perikanan (3.8 peratus).
“Pada masa yang sama, indeks bekalan air juga meningkat 0.4 peratus pada bulan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Harga barangan di pintu kilang merekodkan penurunan
Foto: Yoodo
Tambahnya, pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan terus menurun -0.2 peratus pada Disember 2023 berbanding -0.7 peratus pada bulan sebelumnya.
Artikel lain: PDRM Jalankan Siasatan Terhadap Video Tular Polis Trafik Terima RM100
Katanya, semua sektor mencatatkan penurunan pada bulan berkenaan kecuali sektor pertania, perhutanan & perikanan yang kekal tidak berubah.
“Sektor perlombongan jatuh -1.6 peratus dengan indeks pengekstrakan petroleum mentah (-5.1 peratus) mencatatkan penurunan.
“Pada masa yang sama, sektor pembuatan susut -0.1 peratus, dipengaruhi oleh indeks pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-1.8 peratus) dan pembuatan produk makanan (-0.4 peratus).
“Bagi sektor utiliti, indeks bekalan elektrik & gas dan bekalan air masing-masing menurun sebanyak -0.3 peratus dan -0.4 peratus,” ujarnya.
Foto: The Star
Mohd Uzir berkata, pasaran komoditi pada suku tahun keempat 2023 baik disebabkan oleh permintaan global dan bekalan yang mencukupi yang mengekang kenaikan harga untuk 2024.
Beliau menjelaskan, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia juga lebih tinggi pada suku tahun berkenaan berbanding tempoh yang sama 2022 yang membawa kepada penyederhanaan harga minyak sawit mentah.
Menurutnya, Fitch Ratings meramalkan harga penanda aras minyak sawit mentah Malaysia berada pada purata sekitar AS$650 satu tan pada 2024 disebabkan bekalan yang lebih tinggi jauh lebih rendah daripada sekitar AS$840 satu tan pada 2023.
“Selain itu, menurut Euromonitor International, dalam keadaan kelembapan ekonomi global serta penggunaan, perbelanjaan perniagaan dan pelaburan modal yang lebih rendah oleh sektor swasta telah menjejaskan permintaan komoditi dan mengekang kenaikan harga,” jelasnya.
Sumber: Berita Harian (Hazwan Faisal Mohamad)