Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencadangkan 14 Ogos setiap tahun diangkat sebagai Hari Kaligrafi Perpaduan Nasional sempena Hari Kaligrafi Sedunia.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, beliau berharap ia disambut di seluruh negara dan di institusi pendidikan untuk menghayati seni kaligrafi tanpa mengira kaum, bangsa, dan agama.
Hari Kaligrafi Perpaduan Nasional
“Sudah tiba masanya, seni kaligrafi didukung sebagai “unity builder” dalam mengeratkan hubungan silaturahim, kebersamaan, dan muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas merasmikan Konvensyen Kaligrafi Huichun Nasional Kali Pertama 2024 di Seri Kembangan, Selangor hari ini.
Aaron berkata, kementerian juga akan mempertimbangkan bagi mengadakan Festival Kaligrafi Uniti, melibatkan tulisan Jawi, Cina, dan Tamil untuk memupuk kepelbagaian dalam masyarakat.
Artikel lain: KPN Rangka 7 Agenda, Perkenal 2 Agensi Baharu Untuk Capai Dasar Perpaduan Negara
Sementara itu, bercakap mengenai konvokesyen tersebut, beliau menyifatkan KPN komited dalam mempromosikan warisan budaya negara melalui inisiatif yang diperkenalkan iaitu ‘Ini Warisan Kita’.
“Seni Kaligrafi Huichun memegang peranan penting sebagai medium yang mencerminkan kepelbagaian budaya unik di Malaysia.
“Ia bukan sekadar seni tulisan visual, tetapi ekspresi seni yang menggambarkan sejarah, kepelbagaian, dan keindahan Malaysia,” ujarnya.
Untuk rekod, KPN telah melaksanakan pelbagai aktiviti di bawah inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ antaranya pameran etnik minoriti, program bersama masyarakat Chetti dan Siam, debat perpaduan, bicara bahasa kolokial, Foodunites, dan pengajaran bahasa Siam sepanjang tahun lalu.