Sosialit terkemuka Hollywood, Paris Hilton kini sedang bersedih kerana salah seekor anjing peliharaan yang digelar Diamond Baby hilang dari kediamannya sejak 14 September lalu.
Menerusi satu posting di laman Instagram, selebriti berusia 41 tahun itu berkata, anjing baka Chihuahua tersebut kemungkinan melarikan diri ketika dia melakukan ‘photoshoot’.
Dalam masa sama, pekerja yang memindahkan perabot rumahnya juga mungkin membiarkan pintu kediaman terbuka menyebabkan aiwan berkenaan keluar dari situ.
“Ahli keluarga dan rakan-rakan saya telah membantu mencari di sekitar kawasan kejiranan saya, malah dari rumah ke rumah tetapi kami masih tidak menemui Diamond Baby,” tulisnya pada Isnin.
Difahamkan, pelakon filem This Is Paris itu sanggup mengupah detektif dan pakar psikik haiwan peliharaan dengan menggunakan dron dalam usaha mencari anjing tersebut.
“Saya melakukan segala-galanya untuk mendapatkan dia kembali. Pecinta haiwan yang kehilangan haiwan mereka pasti akan merasai kesakitan ini,” katanya.
Hilton berkata, dia menjaga Diamond Baby seperti anaknya sendiri dan sentiasa bersama ibarat kawan baik sekali gus risau akan keselamatan haiwan terbabit.
“Hati saya hancur, sangat sedih dan tertekan. Saya rasa seperti sebahagian daripada diri saya hilang dan situasi tidak sama tanpa dia di sini.
“Diamond Baby adalah segala-galanya seperti anak saya, lami tidak dapat dipisahkan. Dia adalah kawan baik dan sentiasa di sisi saya,” luahnya lagi.
Tambah Hilton, ganjaran besar menanti bagi mereka yang menemui anjing kesayangannya kerana dia amat berharap Diamond Baby pulang dengan selamat.
Sumber: Instagram Paris Hilton