Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) peruntuk RM134.6 juta untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
KUSKOP menerusi agensinya SME Corp. Malaysia menyediakan peruntukan tersebut bagi melaksanakan pelbagai insiatif dan program pada tahun ini sekali gus membuktikan kementerian itu kekal komited memperkasakan PMKS.
Komitmen ini dinyatakan semasa Sesi Taklimat Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Ramanan Ramakrishnan bersama SME Corp. Malaysia pada Selasa.
Sesi taklimat ini berlangsung sempena lawatan pertama beliau ke Ibu Pejabat SME Corp. Malaysia di Platinum Sentral, Kuala Lumpur sejak dilantik sebagai Timbalan Menteri KUSKOP pada 12 Disembervlalu.
Sesi tersebut bertujuan memberikan penerangan lanjut berkenaan peranan dan fungsi SME Corp. Malaysia sebagai Agensi Penyelaras Pusat dalam pembangunan PMKS.
Artikel lain: Kor Ming Sempurnakan Istiadat Pemakaian Tanda Pangkat Ketua Pengarah JBPM Baharu
Ramanan juga dimaklumkan mengenai inisiatif dan program pembangunan PMKS bagi tahun 2024 serta pencapaian sepanjang 2023.
“Melalui program dan inisiatif yang dirancang tahun ini, KUSKOP menerusi agensi-agensinya termasuk SME Corp. Malaysia terus komited dalam usaha memperkasakan ekosistem keusahawanan negara.
“Ia sejajar dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) bagi menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul
“Serta kerangka Ekonomi MADANI sebagai wadah mengangkat smeua martabat negara ini dengan menstruktur semula ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara,” katanya.
Tambahnya, komitmen ini turut mengambil kira Kajian Separuh Pengga Rancangan Malaysia Ke-12 yang menetapkan sasaran jelas untuk pertumbuhan PMKS menjelang 2025.
“Sebagai contoh, sumbangan 41% kepada KNDK, 15% kepada eksport, 3.5% dalam purata pertumbuhan produktiviti buruh dan 90% PMKS mendigitalkan operasi perniagaan mereka,” ujar beliau.
KUSKOP peruntuk RM134.6 juta untuk PMKS
Turut hadir ke sesi taklimat itu Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy.
Sementara itu, Rizal berkata melalui peruntukan sebanyak RM134.6 juta ini, SME Corp. Malaysia mensasarkan lebih 16,700 PMKS bakal menerima manfaatnya pada tahun 2024.
“Program Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP) yang dihentikan sementara sebelum ini berikutan komitmen yang telah melebihi peruntukan, akan kembali ditawarkan kepada PMKS pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM55 juta,” katanya.
Selain itu, SME Corp. Malaysia juga akan terus melaksanakan program utama lain seperti Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP), Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), Program Pengukuhan Eksport, Program Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE) serta Program BizMe bagi pembangunan perusahaan inklusif.