Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lancar Pangkalan Data Utama (PADU) iaitu sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Objektif PADU ialah sebagai penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar, yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan serta penggubalan dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data, selain membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal.
Anwar Ibrahim lancar PADU
Artikel lain: Anwar Ibrahim Orang Pertama Di Malaysia Miliki Digital ID
Maklumat profil akan diperoleh melalui pengintegrasian data pentadbiran daripada pelbagai sumber dan sebahagiannya akan dikemas kini oleh individu.
Pelaksanaan PADU adalah bagi meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan, penyimpanan dan pengurusan data daripada pelbagai sumber.
Ia juga bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan PADU, bagi membolehkan perkhidmatan lebih baik dan cekap disampaikan kepada rakyat.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli PADU akan dapat membantu kerajaan untuk menyediakan pengukuran kedudukan sosioekonomi rakyat yang lebih tepat dan mengelakkan keciciran berdasarkan pendapatan boleh guna bersih.
Kaedah pengukuran ini mengambil kira jumlah tanggungan dan bilangan isi rumah, kos sara hidup mengikut lokasi, jarak ke tempat kerja serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah.
“Pendekatan ini juga membolehkan Kerajaan beralih daripada konsep B40, M40 dan T20 tetapi lebih melihat kepada kewajaran pemberian bantuan berdasarkan kriteria yang ditetapkan,” ujarnya dalam sebuah kenyataan.
Untuk pengetahuan semua, sistem PADU telah dibuka secara rasmi kepada umum dan semua rakyat yang berusia 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU, serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.
Rakyat perlu memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha PADU melalui pendaftaran dan mengemaskinikan maklumat isirumah bagi mengelakkan daripada tertinggal daripada bantuan yang kelak diberikan.