Seorang lelaki dipercayai telah tikam ibu bapa warga emas hingga maut dalam satu kejadian di Kampung Sungai Penchala Kuala Lumpur.
Memetik kenyataan rasmi dari Facebook Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor memaklumkan yang suspek telah melarikan diri ke hutan berhampir setelah membunuh ibu bapanya yang berusia 72 tahun dan 82 tahun.
Bersembunyi di terowong Penchala
Walau bagaimanapun, suspek yang berusia sekitar 40 tahun telah berjaya diberkas ketika bersembunyi di Terowong Penchala di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint) kira-kira jam 10.30 malam.
https://www.facebook.com/polisbrickfields/posts/pfbid034SuKdZJBrc258od2fkVcwUUPvG3jv3Pm84uJKq5BzCufaHPYPFTvZGPXHwZDxcBHl
Saksi dengar suara minta tolong sebelum suspek dipercayai tikam ibu bapa
Dalam pada itu, menerusi laporan dari Harian Metro, saksi kejadian mengatakan yang terdengar jeritan meminta tolong dari kediaman warga emas berkenaan ketika penduduk kampung sedang bersiap mahu menunaikan solat maghrib.
“Dengar jeritan meminta tolong, kemudian tiba-tiba senyap”.
“Jiran sebelah rumah haji (mangsa) yang sedar kejadian itu kerana dengar bunyi jeritan meminta tolong.
“Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan yang mengerikan, ini kejadian yang amat tragis kerana saya kenal keluarga ini malah jika sesiapa yang tidak mengenali haji dia bukan orang sini,” katanya.
Suspek tikam ibu bapa warga emas selalu ‘keluar masuk’ pusat tahanan
Ujar penduduk yang sudah lebih 40 tahun berjiran dengan suspek mendakwa yang suspek dilihat kerap ke masjid sejak kebelakangan ini.
Suspek memang dikenali penduduk kampung kerana sering ‘keluar masuk’ dari pusat tahanan disebabkan masalah ketagihan dadah.
“Saya terkejut, saya kenal dia (suspek) sejak dari kecil tak sangka dia tergamak buat perkara sebegini.
“Bapa mangsa memang sangat baik, lemah lembut orangnya malah suspek sendiri rajin membantu bapanya itu melakukan kerja-kerja rumah,” katanya.
Difahamkan, sebelum kejadian tersebut, berlaku pergaduhan antara pasangan suami isteri berkenaan dengan anak lelaki mereka yang berusia 42 tahun.
Setakat ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid telahpun mengesahkan kejadian terbabit.
Sumber: Facebook Polis Daerah Brickfields, Harian Metro (Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil)