Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak layak jadi Menteri Besar Kedah.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, King Sing berkata Sanusi seolah-olah mempunyai dendam tanpa sebab yang munasabah.
Sanusi tidak layak jadi Menteri Besar
Foto: Sinar Harian
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Thailand, TYT Srettha Thavisin pada 27 November lalu.
Pertemuan tersebut bertujuan untuk memantapkan hubungan dua hala antara Malaysia-Thailand dan telah dirancang.
Malah sejak awal Oktober lalu lagi, Malaysia dan Thailand sepakat menubuhkan pasukan petugas bagi meningkatkan kerjasama dua hala berkaitan pertanian, pelancongan, keselamatan, perdagangan dan perniagaan termasuk sektor halal.
“Betul, tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk melihat kemajuan kerja bagi projek Jajran Jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia dan CIQ.
“Tapi, Malaysia dan Thailand juga mengadakan perbincangan berkaitan bidang perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan serta keselamatan sempadan.
“Dan saya adalah Menteri MOTAC, jadi apa yang Sanusi ‘panas’ sangat?” katanya.
Sanusi pula membuat kenyataan berhubung lawatan tersebut dengan berkata King Sing serupa dengan patung Buddha selain menghina fizikalnya.
Artikel lain: Sanusi Tak Bercita-Cita Jadi Perdana Menteri, Tapi Akan Cuba Jika Diberi Amanah
“Melihat ucapan MB Kedah, saya tak tahu otak dia masuk air atau apa, dengan tuhan sekali dia kaitkan.
“Dia kata saya duduk di bawah pokok pisang serupa patung Buddha yang berperut besar. Kalau kamu cerita sebegitu, kamu sudah menggunakan istilah yang tidak sepatutnya menghina seseorang,” ujarnya.
Selain itu, King Sing juga mempersoalkan sumbangan Sanusi terhadap Kedah memandangan beliau merupakan menteri besar di negeri yang bersempadan dengan Thailand.
Foto: Harian Metro
“Berapa banyak pelaburan berjaya masuk untuk manfaat rakyat Kedah dan Malaysia? Kenapa kamu perlu menyalahkan orang lain atas kesilapan kamu sendiri?” katanya.
Sementara itu, King Sing juga sempat menasihati Sanusi jika tidak mempunyai pengetahuan dalam sesuatu perkara, menteri besar itu seharusnya belajar mengenainya.
“Saya tak kisah kalau MB Kedah nak hina wajah saya tapi kalau mahu bantuan dalam pelancongan, biarlah mempromosi industri itu di Kedah sendiri,” kongsinya.
Sumber: Facebook Tiong King Sing