Rangkaian kafe kopi terkemuka, Starbucks dan gedung fesyen H&M dilaporkan bakal ditutup secara kekal di Maghribi sebelum akhir tahun ini, lapor media tempatan Maroc Hebdo seperti dipetik portal berita The New Arab.
Difahamkan, kedua-dua jenama popular itu terpaksa menutup perniagaan secara kekal berikutan permintaan rendah susulan boikot berterusan oleh orang ramai disebabkan perang Israel-Palestin.
“Menurut maklumat yang boleh dipercayai, dua jenama global utama, terutama jenama pakaian H&M dan rangkaian kopi Amerika, Starbucks akan meninggalkan Maghribi bermula 15 Disember ini,”lapor penerbitan Maghribi pada 30 November lalu.
Kedua-dua jenama itu terpaksa menanggung beban akibat kempen boikot yang menyasarkan jenama dan kedai Barat khususnya milik Zionis berikutan perang tentera Israel ke atas Gaza.
Pengumuman itu telah mewujudkan kebimbangan dalam kalangan ratusan warga Maghribi terutama pekerja H&M dan Starbucks mengenai situasi ekonomi di Casablanca.
Sebilangan daripada mereka berkata, rangkaian Starbucks telah mengalami masalah kewangan kerana kekurangan permintaan.
“Ia akan menjadi bencana, kami mempunyai lebih 100 pekerja. Ke mana kami akan pergi selepas ini? Mudah-mudahan, laporan (penutupan) ini tidak benar,” kata seorang pekerja kedai Starbucks.
Sementara itu, ramai dalam kalangan warga Maghribi gembira dengan berita tersebut dan ia dianggap sebagai kemenangan menerusi kempen boikot produk Israel.
Sekadar info, terdapat 18 buah lokasi Starbucks beroperasi di Maghribi, manakala empat gedung H&M dibuka di negara Afrika Utara itu.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak tujuh cawangan Starbucks terpaksa ditutup di kawasan pusat bandar San Francisco pada 22 Oktober lalu atas faktor keselamatan dimana kes jenayah terus berleluasa, penggunaan dadah dan wabak dari gelandangan.
Bagaimanapun, 52 Starbucks kekal di San Francisco.
Artikel lain: Tujuh Cawangan Starbucks Terpaksa Ditutup
Sumber: The New Arab