Connect with us

Hi, what are you looking for?

Lokal

Purata Gaji Di Malaysia Dijangka Naik 5.1 Peratus Pada 2024

Purata gaji di Malaysia dijangka naik sebanyak 5.1 peratus pada 2024, menurut Kajian Jumlah Saraan 2023 Mercer yang dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun pertumbuhan itu lebih rendah berbanding purata 5.2 peratus di Asia, yang memperlihatkan pergerakan gaji yang berbeza antara negara sedang pesat membangun dan maju di rantau ini.

Kajian itu menunjukkan India, Vietnam dan Indonesia dijangka merekodkan unjuran peningkatan gaji median tertinggi pada 2024, masing-masing pada 9.3 peratus, 7.0 peratus dan 6.5 peratus.

Purata gaji di Malaysia dijangka naik

Artikel lain: Skim Gaji Baharu Penjawat Awam Diumum Sebelum Akhir Tahun Depan

Advertisement. Scroll to continue reading.

Jepun, Taiwan dan Hong Kong dijangka mencatat paras terendah iaitu masing-masing pada 2.6 peratus, 3.8 peratus dan 3.9 peratus.

Negara lain yang tersenarai dalam kajian ini adalah Filipina iaitu sebanyak 5.7 peratus, China (5.2 peratus), Thailand (4.7 peratus), Korea Selatan (4.4 peratus) dan 4.2 peratus bagi Singapura.

Ketua Pasaran Mercer Malaysia Koay Gim Soon berkata pasaran buruh Malaysia terus memaparkan unjuran positif, yang diperlihatkan dengan trend kenaikan gaji, meskipun mengalami pertumbuhan ekonomi yang sederhana pada 2023 berbanding tahun sebelumnya.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan sektor individu sebahagian besarnya kembali meningkat seperti paras sebelum pandemik, dan pelbagai petunjuk ekonomi turut menunjukkan pertumbuhan selanjutnya pada tahun akan datang.
“Malah, lebih separuh daripada peserta dalam kajian ini menyatakan keinginan untuk meningkatkan peruntukan penggajian pada 2023 dan 2024 yang dilihat sebagai isyarat positif bagi syarikat dan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Industri tenaga dan teknologi tinggi menjadi peneraju kepada kenaikan gaji di Malaysia pada tahun ini dengan mencatat pertumbuhan gaji median, masing-masing pada 6.5 peratus dan 6.1 peratus, diikuti dengan barangan pengguna dan pembuatan pada 5.0 peratus.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Bagaimanapun, industri sains hayat yang mencatat kenaikan gaji tertinggi pada 2022 sebanyak 7.7 peratus mengalami penurunan kepada 4.3 peratus pada 2023, manakala sektor kelengkapan pengangkutan merekodkan kenaikan terendah pada 3.6 peratus bagi 2023.

“Pada 2022, penggiat utama dalam industri tenaga telah mencatat keuntungan dan melaburkan semula sebahagian daripada pertumbuhan pendapatan untuk menambah baik strategi pampasan mereka bagi menarik dan mengekalkan bakat terbaik.
“Kenaikan gaji bagi industri berteknologi tinggi pula, sebahagian besarnya dipacu oleh lonjakan permintaan dalam kemahiran digital dan teknologi seperti data raya dan kecerdasan buatan di Malaysia,” kata Koay.

Dari segi bayaran bonus di seluruh industri pada 2023, kajian itu mendapati nilai median yang konsisten dengan purata 2.2 kali ganda gaji pokok bulanan.

Sektor perkhidmatan bersama dan penyumberluaran pula mengekalkan unjuran bonus tertinggi sebanyak 2.4 bulan, namun industri runcit dijangka mengalami penyusutan ketara daripada 2.5 bulan pada 2022 kepada 1.5 bulan pada 2023.

Pelarasan ini menunjukkan paras bonus kembali seperti sebelum pandemik selepas syarikat runcit memberi bonus lebih tinggi berbanding biasa pada 2022 berikutan pemulihan pasca pandemik.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Sementara itu, sektor teknologi tinggi mencatat peningkatan ketara unjuran bonus, menokok kepada 2.2 bulan pada 2023 berbanding 1.8 bulan pada 2022.

Sumber: BERNAMA

Nur Ain
Written By Nur Ain

Continue Reading
Advertisement
Advertisement

Artikel Menarik Lain

Lokal

DSAT Group bakal mengambil tindakan undang-undang saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor. Menerusi satu hantaran di Facebook Pengerusi Eksekutif...

Nasional

Berhubung cadangan bagi menghentikan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi kursus universiti yang mencatatkan kadar bayaran balik pinjaman kurang 30 peratus, pihak...

Lokal

Tular di media sosial luahan seorang kakitangan badan penyiaran milik kerajaan, RTM yang mendakwa dirinya bersama beberapa rakan sekerja lain sudah beberapa bulan tidak...

Dunia

Seorang remaja perempuan dilaporkan maut selepas terjatuh dari tingkat empat di pusat membeli-belah MixC di bandar Jining, wilayah Shandong, China, 16 November lalu. Foto:...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by OMM Media Sdn Bhd