Kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) merancang untuk mengambil tindakan ke atas syarikat penerbangan yang gagal mematuhi kod perlindungan pengguna berkait tidak menepati waktu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pihaknya sedang mencari pendekatan bagi meletakkan sasaran prestasi mengikut masa kepada syarikat penerbangan yang beroperasi di negara ini.
Ujarnya, jika mereka dilihat tidak dapat mencapai prestasi mengikut masa, berkemungkinan mereka akan dikenakan tindakan.
“Ini sesuatu yang kita akan cari satu pendekatan bagaimana meletakkan satu sasaran prestasi mengikut masa ((on time performance).
“Kalau mereka tak dapat mencapai prestasi mengikut masa itu, maka kemungkinan ada sesuatu tindakan yang akan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) sama ada kerajaan akan memberi amaran dan denda kepada mereka yang gagal menepati waktu.
Ulas Loke, kelewatan penerbangan mempunyai pelbagai faktor dan ada antaranya di luar kawalan syarikat penerbangan seperti cuaca.
“Cuaca umpamanya. Macam mana nak kawal cuaca? Kalau cuaca tak baik, macam mana kapal terbang nak terbang? Jadi, itu kena faham. Bukannya syarikat-syarikat penerbangan sengaja melewarkan penerbangan mereka.
“Tetapi, saya setuju. Ada banyak perkara yang perlu kita tambah baik dan perlu diperbaiki,”ujar Loke.
Artikel lain: Harga Tiket Melonjak? Sarawak Bakal Ada Syarikat Penerbangan Sendiri
Sementara itu, menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai isu harga tiket kapal terbang, Loke mengharapkan lebih banyak kapasiti penerbangan ditawarkan bagi menurunkan harga tiket kapal terbang yang ketika ini didakwa mahal dan membebankan rakyat.
Loke juga berharap pihak berkenaan berbuat demikian agar harga tiket kapal terbang dapat diseimbangkan.
Katanya lagi,banyak faktor yang mempengaruhi harga tiket kapal terbang termasuk peningkatan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dan kenaikan harga minyak serta sewa pesawat yang menjadikan kos operasi semua syarikat penerbangan meningkat mendadak.
“Namun begitu, kita amat mengharapkan supaya lebih banyak penawaran, lebih banyak kapasiti dan lebih banyak pesawat terbang.
“Sekiranya lebih banyak kapasiti, maka ia dapat mengimbangkan harga tiket kapal terbang ini,”katanya.
Sumber: Harian Metro (Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid)