Warga kota dan rakyat Malaysia dijemput hadir beramai-ramai memeriahkan lagi Festival Merakyatkan Seni Warisan Akar Umbi, Laman Santai Malaysia Madani 2023 di Laman Beringin, Istana Budaya pada 4 dan 5 November 2023 bermula dari jam 10:00 pagi hingga 11:00 malam.
Julung kali diadakan tahun 2023
Festival yang julung kali diadakan ini merupakan acara acara Laman Santai terbesar yang berlangsung untuk tahun 2023.
Festival berlangsung di Istana Budaya berkonsep santai & terbuka
Difahamkan, festival yang berkonsepkan santai dan terbuka kepada semua dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan program disediakan seperti pameran, jualan, demonstrasi, food trucks dan persembahan utama oleh artis-artis tempatan.
Tak hanya itu, pelbagai acara seni warisan dan budaya seperti Makanan Warisan, Bengkel Muzik Borneo, Demonstrasi Silat, Solekan, Orang Asli, Jom Belajar Seni Budaya, Persembahan Barongan, Kuda Kepang, Peragaan Busana Tradisional, Baju Kebaya dan Karaoke Santai akan diadakan.
Deretan artis popular Tanah Air seperti Dato’ Hattan, Suki Low, Khai Bahar, Roy Kapilla, Rahmad Mega, Rahimah Rahim, Haziq dan ramai lagi pastinya akan memeriahkan persembahan utama pada malam Laman Santai 2023.
Dalam menyemarakkan perpaduan rakyat Malaysia menerusi seni budaya, Istana Budaya turut menjemput sekumpulan anak seni dari Borneo seperti Tuku’ Kame’, Alun Menoa (Wanita Sape) dan Perintis Orkestra Tradisional Remaja Sarawak (POTRES) dalam mengetengahkan alunan muzik dan persembahan dari Bumi Kenyalang, Sarawak.
Susulan daripada itu,menerusi kerjasama dengan radio SINAR sebagai radio rasmi, festival tersebut juga akan menampilkan selebriti-selebriti dari SINAR.fm seperti Falyq dan Putra sebagai pengacara aktiviti siang sera Dina Nadzir sebagai pengacara persembahan utama pada malam festival.
“Istana Budaya sentiasa bersifat terbuka dan komited dalam menyatupadukan masyarakat hingga ke akar umbi dan tidak mengira bangsa terutama sekali dalam memperkasakan seni warisan dan budaya agar dapat dipelihara khususnya dalam festival Laman Santai Malaysia Madani 2023 ini.” ujar Puan Zubaidah Mukhtar, Ketua Pengarah Istana Budaya.
Jemput datang ke Istana Budaya hujung minggu nanti
Selain itu, Pengunjung juga bakal menikmati pelbagai promosi dan peluang yang disediakan dari pelbagai Jabatan dan agensi Kerajaan yang turut serta menjayakan festival ini, antaranya Jabatan Warisan Negara, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA), Jabatan Belia dan Sukan Negara, Tourism Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Jangan lepaskan peluang untuk hadir kerana masuk adalah percuma.
Banyak aktiviti boleh dimanfaatkan pada hujung minggu ini bersama keluarga dan rakan taulan sekaligus memeriahkan lagi Festival Merakyatkan Seni Warisan Akar Umbi, Laman Santai Malaysia Madani 2023.
Untuk maklumat terperinci awam boleh melayari portal dan di setiap platfom media sosial Istana Budaya.