Sekumpulan wartawan didenda oleh polis Perancis kerana membuat liputan semasa demonstrasi pro-Palestin di Paris, petang semalam.
Kejadian itu berlaku di Dataran Republik, di mana berpuluh-puluh penunjuk perasaan berkumpul sebagai solidariti terhadap Palestin, sehari selepas serangan udara Israel membunuh lebih 470 orang di hospital Gaza.
Wartawan didenda polis Perancis sebab buat liputan
Lapor agensi berita Anadolu, seorang wartawan didenda sebanyak €135 (RM677) walaupun menunjukkan kad perakuan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan Perancis.
“Saya menunjukkan kad media saya tetapi pegawai itu memberitahu bahawa dia tidak peduli. Dia menuduh saya menyertai demonstrasi yang dilarang,”ujar wartawan yang tidak mahu didedahkan identiti.
Dah jelaskan perkara sebenar pun tetap didenda
Wartawan berkenaan berkata, dia tetap perlu membayar denda walaupun sudah menjelaskan dirinya ditugaskan untuk membuat liputan mengenai demonstasi pro-Palestin.
“Walaupun saya sudah menjelaskan mengenai tujuan saya berada di sini untuk membuat liputan kejadian dan bukannya menyertai demonstrasi, dia (pegawai polis) tetap mengisi maklumat daripada kad pengenalan.
“Dia berkata, saya perlu membayar denda sebanyak €135 dan menasihati untuk tidak lagi datang ke mana-mana perhimpunan demonstrasi. Jika tidak, saya perlu membayar sejumlah denda yang sama,”luahnya.
Artikel lain: Salah Hulur Bantuan Palestin Tapi Jumlah Dirahsiakan
Difahamkan, Kementerian Dalam Negeri telah mengharamkan demonstrasi menyokong Palestin di Perancis sejak 12 Oktober lalu.
Semalam, dilaporkan Majlis Negara menyatakan wakil kerajaan tempatan diberi pilihan untuk menilai sama ada sesebuah perhimpunan itu menggangu ketenteraman awam atau sebaliknya.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin mengeluarkan arahan untuk melarang semua perhimpunan pro-Palestin di negara tersebut.
Sumber: Anadolu