Russia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggesa agar mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan segera susulan serangan maut sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 500 terbunuh yang berlaku di sebuah hospital di Semenanjung Gaza.
Duta Russia gesa PBB segera lakukan mesyuarat
Memetik laporan dari Berita Harian merujuk kepada akhbar tempatan, Duta Russia ke PBB, Dmitry Polyanski menyatakan yang pihak mereka menggesa agar PBB melakukan mesyuarat tergempar pada pagi kejadian iaitu 18 Oktober 2023.
“Russia dan UAE menggesa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB diadakan pada pagi 18 Oktober (hari ini) berhubung insiden ke atas hospital Gaza,” katanya di Telegram.
Sebelum ini Majlis Keselamatan tolak resolusi Russia kutuk keganasan
Sebelum ini, pihak Majlis Keselamatan menolak resolusi Russia yang mengutuk keganasan yang semakin kerap terjadi di Asia Barat.
Perwakilan enggan menyokong usul yang tidak mengkhususkan Hamas untuk serangan mengejut ke atas Israel yang menyebabkan sekurang-kurangnya 1,400 orang terbunuh.
Israel bertindak balas terhadap serangan itu dengan serangan udara yang menyebabkan kira-kira 3,000 penduduk Gaza terbunuh.
Walau bagaimanapun, majlis berkenaan sebaliknya merancang untuk mengundi teks kedua yang dicadangkan oleh Brazil dengan bahasa tegas mengutuk kumpulan Islamis sekali gus dilihat menerima sokongan lebih meluas.
Namun, undian yang sepatutnya dirancang untuk dilakukan petang semalam kemudiannya ditangguhkan pada hari ini sekitar 1400 GMT.
Semalam, lebih daripada 500 orang meninggal dunia apabila Hospital Al-Ahli al-Arabi di Gaza City dibom. Kejadian tersebut berlaku pada malam sebelum lawatan Presiden Amerika Syarikat, (AS) Joe Biden ke Israel bagi menunjukkan sokongan kepada rejim Zionis itu.
Memetik laporan dari Reuters, Menteri Kesihatan dalam kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas, Mai Alkaila, menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Artikel lain: Malaysia Bina Semula Masjid Muhammad Al Amin Selepas Musnah Dibom
Bagaimanapun, tentera Israel menafikan bertanggungjawab ke atas letupan di hospital Al-Ahli al-Arabi di Gaza City dan memberitahu hospital itu terkena pelancaran roket yang gagal oleh kumpulan tentera Jihad Islam Palestin di kawasan berkenaan.
Difahamkan, serangan terbabit merupakan insiden paling berdarah di Gaza sejak Israel melancarkan kempen pengeboman tanpa henti terhadap wilayah berpenduduk padat susulan tindak balas terhadap serangan Hamas merentas sempadan ke selatan Israel pada 7 Oktober.
Sumber: Berita Harian , Reuters