Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Mohd Khairuddin Aman Razali meminta Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin dengan segera bertaubat susulan mengeluarkan tuduhan qazaf terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut menegaskan tuduhan tersebut adalah dosa besar yang termasuk dalam kategori jenayah hudud dalam Islam.
https://www.facebook.com/drtakiri/videos/847184756789889/?locale=ms_MY
“Saya mendengar pencelahan di Parlimen oleh YB Putrajaya menyebut dia yakin bahawa YAB PM peliwat.
“Ini adalah tuduhan QAZAF yang jelas termasuk dalam kategori jenayah Hudud dalam Islam iaitu menuduh seseorang muslim melakukan zina atau liwat tanpa empat saksi mata.
“Ia menjadi salah satu kesalahan jenayah Syariah dalam Akta dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri-negeri dalam Malaysia.
“YB Putrajaya kena segera bertaubat kepada Allah kerana melakukan jenayah besar dalam Islam ini,” katanya pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut kesal kerana agamawan yang berada di dalam Dewan Rakyat seakan-akan membiarkan perkara tersebut berlaku tanpa menegur.
“Bagaimana perkara itu dibiarkan berlaku dalam parlimen tanpa sebarang teguran sedangkan dalam parlimen terdapat ustaz-ustaz yang mendalami pengajian Islam dan memperjuangkan pula pelaksanaan HUDUD dalam negara,” ujarnya.
Foto: Berita Harian
Terdahulu, Radzi mengeluarkan tuduhan tersebut ketika bertikam lidah dengan Anwar yang juga Menteri Kewangan semasa penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sumber: Facebook Ust. Dr. Khairuddin at-Takiri