Sebaik sahaja namanya terpalit dalam calon presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bekas pemain beregu lelaki negara, Datuk Seri Jalani Sidek memaklumkan dia masih belum bersedia untuk mengisi jawatan tersebut.
Menerusi laporan Utusan Malaysia, Jalani mengakui tidak mudah untuk menggalas jawatan tersebut memandangkan banyak perkara yang harus diambil kira.
Difahamkan, presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan akan meletakkan jawatan tersebut pada hujung tahun ini dimana lebih awal daripada perancangan asal iaitu selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024.
“Saya tidak menidakkan apa yang netizen katakan, tetapi untuk saya menerajui satu persatuan besar ini banyak perkara yang harus diambil kira, kalau kelab mudah.
“Contohnya idea yang dilontarkan presiden, bukan semua ahli lembaga bersetuju.
“Buat masa sekarang saya lebih selesa ikut Datuk Misbun buat program pembangunan, untuk cari pemain di luar sana, kami ingin membantu mereka.
“Kalau untuk menerajui BAM, saya tahu saya berdiri di mana,” jelas Jalani.
Dalam pada itu, calon-calon untuk mengisi kekosongan jawatan presiden BAM masih belum didedahkan kepada umum walaupun Norza sudah mempunyai empat hingga lima nama sebagai penggantinya.
Sumber: Utusan Malaysia (Meja Sukan)