Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin meluahkan rasa kesal terhadap tindakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang didakwanya menggunakan barisan peguam agensi itu untuk mengemukakan saman peribadi terhadap dirinya.
Menurut laporan MalaysiaKini, Mas Ermieyati berkata, peguam yang dilantik oleh MARA sepatutnya hanya bertanggungjawab untuk mempertahankan kepentingan institusi tersebut, serta menjaga hak dan kebajikan para pelajar, bukan digunakan untuk tujuan peribadi.

Foto: Carian Google
“Ini bukan soal ego politik, ini soal nasib anak bangsa. Janganlah digunakan duit rakyat untuk tutup suara rakyat pula,” katanya.
Mengulas lanjut, Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) itu menyatakan bahawa dia tidak gentar dengan ugutan saman tersebut dan akan terus bersuara demi memperjuangkan nasib pelajar aliran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Saya tidak akan sesekali gentar dengan ugutan saman seperti ini.
“Saya akan terus bersuara demi anak-anak bumiputera, demi pelajar-pelajar latihan teknikal dan vokasional (TVET), demi rakyat Malaysia dan negara tercinta,” ujarnya.
Terdahulu, Asyraf Wajdi dalam satu hantaran di Facebook mendakwa Mas Ermieyati telah memfitnahnya berhubung penggunaan dana MARA serta dakwaan kegagalan agensi itu membiayai pelajar TVET.
Dia turut menyatakan bahawa barisan peguam MARA akan memulakan prosiding undang-undang terhadap Ahli Parlimen itu.
“Mula-mula saya ingat malas nak layan tapi sudah melampau dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan. See you in court YB Mas!” tulisnya.
Sebagai respon, Mas Ermieyati menegaskan bahawa segala kenyataan yang dikeluarkannya adalah berdasarkan aduan awam yang diterima daripada ibu bapa dan pelajar yang kecewa dengan ketidakpastian masa depan pendidikan mereka.
“Ini adalah sebahagian daripada mesej-mesej dan aduan-aduan yang dikemukakan oleh rakyat kepada saya terutamanya ibu bapa serta para pelajar yang kecewa dengan ketidaktentuan masa depan pendidikan mereka.
“Saya suarakan sebagai ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat dan yang diberi amanah oleh rakyat.
“Jika Asyraf Wajdi merasakan suara rakyat ini merupakan satu fitnah, dia sepatutnya menjawab dengan mengemukakan fakta-fakta, bukannya dengan ugutan saman. Ingin diingatkan bahawa MARA adalah institusi rakyat,” jelasnya.
Dia turut membangkitkan beberapa persoalan yang menurutnya perlu dijawab oleh Asyraf Wajdi.

Foto: Carian Google
“Adakah permohonan pinjaman pelajaran bagi pengambilan pelajar Mac 2025 secara online masih belum dibuka? Kenapa dan bilakah permohonan akan dibuka kembali?
“Bilakah MARA akan menyelesaikan isu pinjaman pelajar TVET?” soalnya sambil membangkitkan isu perbelanjaan Asyraf Wajdi menjelajah dalam dan luar negara.
“Adakah perbelanjaan jelajah (Asyraf Wajdi) seluruh negara dan luar negara dan rombongan menggunakan dana awam?
“Jika benar, berapakah jumlahnya dan siapa ahli rombongan yang mengikutinya?” soalnya.
Mas Ermieyati mengakhiri kenyataannya dengan menegaskan bahawa MARA adalah institusi milik rakyat dan seharusnya bertindak telus serta bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.
Sumber: Facebook (Mas Ermieyati Samsudin)
