Batik Air Malaysia akan mengurangkan sehingga 35 peratus jadual penerbangannya bagi separuh pertama April susulan peningkatan mendadak kos bahan api yang didorong ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Menerusi memo dalaman bertarikh 1 April, syarikat itu memaklumkan langkah berkenaan diambil sebagai pendekatan berjaga-jaga bagi melindungi kedudukan kewangan ketika harga bahan api jet berada pada paras tinggi.
Sebagai sebahagian daripada usaha pengurusan kos, Batik Air Malaysia turut menawarkan cuti tanpa gaji secara sukarela kepada kira-kira 3,500 kakitangan, dengan permohonan dibuka sehingga 3 April dan tempoh cuti bermula 6 April.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chandran Rama Muthy, berkata situasi semasa menunjukkan bekalan bahan api global semakin terhad dan dijangka hanya mencukupi untuk beberapa bulan akan datang.
“Syarikat perlu mengambil langkah proaktif dalam mengurus operasi bagi mengurangkan risiko kewangan dan memastikan kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.
“Jika operasi diteruskan tanpa pelarasan, ia boleh meningkatkan risiko kewangan dan operasi, serta memberi kesan kepada kestabilan keseluruhan industri penerbangan,” katanya.
Artikel lain: Permintaan AirAsia Kekal Kukuh! Tony Fernandes Akui Kenaikan Tambang Tak Dapat Dielakkan
Beliau menegaskan keputusan itu bukan mudah, namun perlu dalam situasi mencabar dan tidak menentu ketika ini.
Langkah berkenaan juga selari dengan kebimbangan industri terhadap kekangan bekalan bahan api global.
Batik Air Malaysia dalam masa sama berharap penumpang dapat memahami situasi tersebut serta terus memberi sokongan, sambil syarikat berusaha mengekalkan operasi yang stabil, selamat dan boleh dipercayai sepanjang tempoh ini.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.







































