Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk melaksanakan pengharaman vape bermula dengan jenis sistem terbuka, tahun ini.
Menterinya, Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
KKM sasar haramkan rokok elektronik sistem terbuka
“Berhubung isu rokok dan vape, pendirian saya kekal. Penguatkuasaan penuh akta ini adalah tanggungjawab moral kita untuk melindungi generasi akan datang daripada ancaman penyakit tidak berjangkit (NCD) dan popcorn lung (bronchiolitis obliterans).
“Ini telah pun saya uar-uarkan dahulu terutama vape jenis sistem terbuka dan sebagainya, mungkin kita akan membuat beberapa langkah tetapi langkah pertamanya adalah untuk haramkan jenis sistem terbuka yang telah disalahgunakan dengan pelbagai dadah sintetik,” katanya kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata pengharaman itu meliputi penjualan dan penggunaan vape jenis sistem terbuka.
Katanya, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.
Artikel lain: Bermula 1 Januari Ini! Buang Sampah, Meludah Tempat Awam Boleh Didenda RM2,000
KKM sasar haramkan rokok elektronik sistem terbuka
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata inisiatif Rakan KKM, yang menawarkan perkhidmatan kesihatan bertaraf ekonomi premium di hospital kerajaan terpilih, dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini.
“Menjelang suku pertama 2026, kita bakal menerima pesakit pertama di bawah inisiatif Rakan KKM.
“Ini adalah model ekonomi premium yang membolehkan subsidi silang berlaku, sekali gus membantu kita mengekalkan pakar perubatan di dalam sistem awam,” katanya.
Beliau berkata Hospital Cyberjaya akan menjadi hospital KKM pertama yang menawarkan perkhidmatan itu sebelum diperluas ke hospital lain.
Sumber: Bernama







































