Bapa kepada penuntut lelaki yang didakwa memijak al-Quran dilaporkan tidak mengetahui tentang status agama anaknya yang dikatakan telah memeluk Islam pada 25 April tahun lalu.
Menurut laporan Utusan Malaysia, peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman berkata bahawa bapa pelajar itu, K. Selvanathan enggan mengulas sebarang pertanyaan ketika ditemui di pintu Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
“Kalau tanya dia, dia akan jawab ‘no komen’. Bapa dia pun tidak tahu tentang (dakwaan) anaknya peluk Islam,” katanya.

Foto: Utusan Malaysia
Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa penuntut terbabit S. Vikneswaran merupakan seorang mualaf yang sudah melafazkan syahadah pada April tahun lalu.
Perkara itu dikongsi pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung melalui hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurut Firdaus, penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu pernah menghubunginya melalui Instagram dan menunjukkan kesungguhan untuk dibimbing memeluk Islam.
Terdahulu, S. Vikneswaran mencetuskan kemarahan ramai apabila memuat naik gambar memijak al-Quran serta hantaran menghina Nabi Muhammad di media sosial.

Foto: Bernama
Susulan itu, bapa mangsa membawa anaknya ke balai polis untuk memohon maaf, dan pihak berkuasa menahan pelajar itu bagi siasatan lanjut.
Dalam prosiding hari ini, S. Vikneswaran mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu memijak naskhah Al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial yang menimbulkan kemarahan masyarakat.
Sumber: Utusan Malaysia (Khairulmizan Yahya)







































