Polis mengesahkan kematian kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Teknologi Malaysia (Palapes UTM), Syamsul Haris Shamsudin kini disiasat sebagai kes bunuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata siasatan awal kes tersebut bermula sebagai mati mengejut oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi pada 28 Julai lalu.
Kematian Syamsul Haris Diklasifikasi Kes Bunuh
Bagaimanapun, pada 27 Ogos 2025, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengambil alih siasatan sepenuhnya selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan keluarga untuk penggalian semula kubur dan bedah siasat kali kedua.
Katanya, hasil siasatan lengkap Polis Diraja Malaysia telah dibentangkan kepada Jabatan Peguam Negara pada hari ini dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Siasatan kini diteruskan bagi mengenal pasti individu yang terlibat atau bertanggungjawab terhadap kematian Syamsul Haris sebelum kertas siasatan dirujuk semula kepada AGC untuk arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“Berikan ruang kepada PDRM untuk melengkapkan siasatan,” katanya.
Sebelum ini, laporan media menyebut AGC mengarahkan kematian Syamsul Haris diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas meneliti laporan siasatan PDRM.
Artikel lain: Kes Syamsul Haris: Bedah Siasat Kedua Kesan Kecederaan Mencurigakan – Peguam
Mahkamah Tinggi Shah Alam turut memerintahkan kubur Allahyarham Syamsul Haris digali semula bagi tujuan bedah siasat kedua. Allahyarham sebelum ini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet selepas membenarkan permohonan ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Sumber: Jabatan Peguam Negara Malaysia I Attorney General’s Chambers Malaysia, PDRM










































