Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati serta tidak memberikan komen melampau yang menyentuh isu sensitif berkaitan agama dan kaum dalam media sosial.
Berkaitan isu agama dan kaum
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata rakyat Malaysia seharusnya bersikap matang, dan tidak menggunakan platform media sosial untuk mencetuskan provokasi sehingga menjejaskan keharmonian negara.
“Masyarakat dinasihatkan supaya merujuk kepada sumber sahih dan dokumen rasmi sebelum membuat sebarang kenyataan bagi mengelakkan salah faham.
“Kita mahu suasana aman dan tenteram ini diteruskan, terutamanya dalam kita menghampiri musim perayaan,” katanya.

Foto: Bernama
Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa PDRM bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur pada Isnin.
Artikel lain: Langgar Motosikal: Tiada Unsur Gangsterisme Atau Perkauman – Polis
Mohd Khalid mengulas mengenai kecaman dalam media sosial selepas tindakan seorang penuntut universiti awam memuat naik hantaran menghina dan mencemarkan al-Quran pada platform Threads baru-baru ini.

Foto: Bernama
Terdahulu, beliau mengesahkan pelajar berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Kuantan di Pahang, pagi ini.
Sementara itu, Mohd Khalid berkata, Peguam Negara (AG) telah memberikan keizinan untuk menuduh suspek selepas penelitian mendapati bukti mencukupi bagi memulakan prosiding undang-undang.
Pada 25 Februari lalu, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam dalam media sosial, dengan sebanyak 62 laporan polis telah diterima di seluruh negara berhubung kes berkenaan.
Sumber: Bernama







































