Kerajaan Wilayah Jakarta mengarahkan penutupan premis hiburan dan kehidupan malam di ibu kota sepanjang bulan Ramadan bagi menjaga ketenteraman awam serta memastikan suasana lebih kondusif.
Ketua Agensi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Jakarta, Andhika Permata, berkata premis terlibat termasuk kelab malam, disko, mandi wap, rumah urut, pusat hiburan dewasa dan bar.
“Arahan itu berkuat kuasa sehari sebelum bermulanya Ramadan sehingga hari kedua Aidilfitri.
“Langkah ini diambil bagi memastikan suasana ibu kota lebih terkawal dan menghormati bulan suci Ramadan,” katanya, memetik laporan detik.com.
Jakarta Tutup Kelab Malam
Bagaimanapun, beliau memaklumkan pengecualian diberikan kepada premis yang beroperasi di hotel empat dan lima bintang serta kawasan komersial tertentu, dengan syarat tidak berhampiran kawasan perumahan, rumah ibadat, sekolah atau hospital.
Artikel lain: Kedutaan Malaysia Pantau Rapi! Rakyat Dinasihat Elak Kawasan Demonstrasi Jakarta
Premis yang dibenarkan beroperasi pula dihadkan dari jam 8.30 malam hingga 1.30 pagi waktu tempatan dan perlu melaksanakan proses ‘closed bill’ sejam sebelum tamat waktu operasi.
Pihak berkuasa menegaskan arahan ini bertujuan menjaga keharmonian masyarakat sepanjang Ramadan, selain memastikan aktiviti perniagaan berjalan dalam kawalan yang ditetapkan.
Sumber: Detik.com










































