Seorang wanita hamil tiga bulan meninggal dunia bersama seorang rakan lelaki dalam kebakaran yang berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Tenang 14, Taman Damai Jaya, Skudai, awal pagi tadi.
Mangsa, Wan Nurkhairani Wan Norzaini, 21, sedang hamil anak sulung bersama suaminya, Irfan Ibrahim, 24, selepas mereka berkahwin pada 2024.
Tragedi ini turut meragut nyawa rakan pasangan itu, Mohd Shahrizal Yap, 22, yang menumpang di rumah berkenaan sejak dua bulan lalu.
Suami Reda Isteri Hamil 3 Bulan Maut Dalam Kebakaran
Irfan berkata, kebakaran berlaku ketika dia bekerja di sebuah kilang di Gelang Patah, sebelum dimaklumkan tentang insiden itu oleh adik-beradiknya.
“Selepas dapat panggilan, saya bergegas pulang ke rumah dan tiba kira-kira jam 7 pagi tadi, tetapi ketika itu api sudah dipadamkan.
“Kebakaran itu membunuh isteri saya yang hamil tiga bulan anak sulung kami.
“Memang sedih kerana kami teruja untuk menimang cahaya mata, tetapi terpaksa reda kerana ia takdir yang ditentukan,” katanya, hari ini.
Irfan menambah, mangsa lelaki yang turut terkorban adalah bekas rakan sekerjanya dan mula menumpang di rumah mereka selepas berhenti kerja.
“Dia berasal dari Sarawak, tiada rumah dan tiada siapa di sini, jadi dia tinggal bersama kami sejak dua bulan lalu,” katanya.
Menurut Irfan, dia sendiri sudah setahun tinggal di rumah itu yang juga milik keluarga isterinya.
Sementara itu, jiran mangsa, Tuminah Bakir, 61, berkata, ketika kebakaran berlaku dia terdengar bunyi seperti barang dijatuhkan dari rumah tersebut, dipercayai usaha mangsa memberi petanda mereka berada di tingkat atas.
“Saya terdengar bunyi seperti barangan jatuh dan minta suami tengok. Kemudian dia memaklumkan nampak asap dari rumah itu.
“Ketika kami keluar, nampak api marak dari kawasan tangga rumah. Tidak ada jeritan, dan apabila bomba datang bawa pengusung, kami diberitahu ada mangsa di tingkat atas,” kata Tuminah.
Tambah beliau, sementara menunggu ketibaan bomba, dia bersama beberapa jiran membantu memadamkan kebakaran menggunakan sumber air yang ada.
Katanya, rumah itu sebelum ini ditinggalkan kosong selepas pemiliknya yang juga pasangan warga emas meninggal dunia, sebelum mangsa dan suaminya berpindah masuk.
Artikel lain: Menara Telekomunikasi Maxis Terbakar, Liputan Beberapa Kawasan Di Kuala Kangsar Terjejas
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha, ketika dihubungi mengesahkan insiden berkenaan.
Beliau berkata, kebakaran itu mengorbankan dua individu iaitu seorang wanita berusia 21 tahun dan lelaki berusia 22 tahun yang juga penyewa bilik di rumah berkenaan.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran dan memastikan keselamatan awam tidak tergugat.
Sumber: BH Online (Izz Laily Hussein)










































